SBJK diperluas ke Sabah, beri akses pendidikan kepada semua

Iklan
Fadhlina bertemu dengan murid-murid yang menyertai program SBJK dalam lawatan kerjanya di SK Sembulan, Kota Kinabalu.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited dalam memberikan akses pendidikan kepada kanak-kanak termasuk di Sabah menerusi program Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) yang dilaksanakan di Kota Kinabalu.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, program SBJK yang pertama dilaksanakan di Kuala Lumpur itu kini telah mula diperluaskan ke Sabah.

Iklan
Iklan

"Setakat ini ada lapan murid dan malam ini kita teruskan program outreach dengan menambah bilangan pelajar supaya lebih ramai kanak-kanak yang datang ke sekolah.

"Tumpuan SBJK ini adalah anak-anak yang tiada dokumen tetapi warganegara Malaysia di mana salah satu ibu bapa atau penjaganya adalah warganegara dan kita di KPM komited untuk terus memberikan pendidikan kepada mereka," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam lawatan kerjanya ke SBJK di Sekolah Kebangsaan (SK) Sembulan, pada Khamis.

Katanya lagi, KPM setakat ini mengambil pendekatan sesi pembelajaran untuk kanak-kanak tersebut adalah secara modul dan bukan mengikuti pendidikan secara arus perdana.

Iklan

"Sebab mereka ini tidak pernah bersekolah dan mungkin ada masalah sikit untuk mengikuti pendidikan secara arus perdana.

"Jadi mereka akan mulakan dengan modul, guru-guru kita adalah berkemahiran tinggi yang dilatih mengendalikan modul pelajaran.

"Kita bergantung kepada tahap mereka (murid), kalau boleh melepasi semua aras dan tahap itu mungkin boleh masukkan mereka menyertai rakan yang lain di pendidikan arus perdana dengan dokumen lengkap," katanya.

Ditanya adakah SBJK akan diperluaskan ke daerah lain susulan banyak isu keciciran berlaku di Sabah, Fadhlina berkata, ia bergantung kepada kes atau keperluan untuk melaksanakannya.

"Memang ada (cadangan diperluaskan) tetapi keperluan itu bergantung kepada kes dan syarat yang sedang kita teliti.

"Kalau ada keperluan dan syarat dipatuhi, maknanya program itu akan diperluas di sekolah arus perdana di Sabah tetapi kelas berasingan dari kanak-kanak lain," jelasnya.