Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) melancarkan sistem akreditasi (Elektronic MQA Acreditation System) atau e-MAS yang menggabung dan mengintergrasikan kesemua modul pengurusan berkaitan akreditasi bagi mewujudkan platform bersepadu dalam penyampaian perkhidmatan terbaik kepada pihak berkepentingan pendidikan tinggi negara.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Datuk Profesor Dr Mohammad Shatar Sabran, kewujudan sistem itu selari dengan agenda pendigital yang sering diuar-uarkan kerajaan serta Perancangan Strategik MQA 2021-2025 menerusi Teras Strategik 3 (Penyampaian Efektif Disokong Kemampanan Sumber).
"Antara kelebihan e-MAS adalah mentransformasi proses sedia ada kepada digital yang membolehkan permohonan akreditasi program dibuat 100 peratus dalam talian.
"Ia juga boleh diakses 24 jam yang membolehkan proses akreditasi program dapat dilaksanakan dengan lebih cepat, teratur dan secara ‘real-time’.
"Sistem ini turut telah melepasi fasa pengujian dan pelancaran sistem berkenaan akan dengan perintisan 10 institusi pendidikan tinggi (IPT) rakan sistem e-MAS bermula 22 April 2024,” katanya ketika Majlis Tautan Kasih MQA bersama Media 2024 di Putrajaya.
Pada majlis sama, pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dibuat bersama Badan Akreditasi Nasional Perguruan Tinggi (BAN-PT) Indonesia yang disaksikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts Mustapha Sakmud.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Dr Azlinda Azman; Pengerusi Majlis MQA, Tan Sri Mohd Adib Abd Rahman dan Direktur Dewan Eksekutif BAN-PT, Profesor Dr Ir Ari Purbayanto.
Dalam pada itu, Mohammad Shatar berkata pemeteraian MoU bersama BAN-PT, Indonesia adalah untuk mengukuhkan hubungan sedia ada serta meningkatkan kerjasama berfokus antara dua agensi.
Tambahnya, MoU membolehkan pegawai dari dua agensi untuk saling bertukar input serta pandangan, melaksanakan inisiatif penandaarasan berkongsi tatacara dan tanggungjawab berkaitan jaminan kualiti dengan lebih efektif.