Lebih 20 pelajar perempuan keracunan makanan di Kelantan

Iklan
Keadaan itu berpunca daripada makanan yang dimakan ketika menghadiri program kepimpinan.
Lebih 20 pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Kota Bharu, Kelantan disyaki keracunan makanan selepas menyertai satu program kepimpinan di sekolah berkenaan pada Jumaat dan Sabtu.

Kesemua mereka berusia antara 13 hingga 17 tahun dipercayai menikmati makanan bungkus yang disediakan dalam program berkenaan.

Ibu kepada seorang pelajar memberitahu, anaknya mengadu sakit perut pada hari kedua program tersebut selepas menikmati hidangan tengah hari menu ayam yang sudah berbau busuk.

"Pada sebelah malamnya anak saya mengalami cirit-birit dan pagi keesokannya saya membawanya ke klinik. Anak saya turut mengalami demam," katanya.

Ibu berusia 40-an itu memberitahu, keadaan anaknya tidak berkurang sehingga petang Isnin kerana sudah mula muntah-muntah.

"Bimbang dengan keadaannya yang turut mengadu pening kepala, saya terus membawanya ke unit kecemasan (salah sebuah hospital di bandar Kota Bharu)," katanya.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini dia belum bertemu guru dan sekumpulan ibu bapa hanya berhubung melalui grup WhasApp.

Seorang lagi ibu pelajar, mengalami detik cemas apabila anaknya mengadu sakit perut dan loya kira-kira jam 6 petang Sabtu.

"Saya pada mulanya mengesyaki anak saya mengalami gastrik. Keadaannya tidak bertambah baik malah mengalami muntah dan sakit perut sehingga jam 1 pagi," katanya.

Keesokannya (pada Ahad), ibu berusia 30-an itu membawa membawa anaknya ke klinik selepas mengesyaki mengalami keracunan makanan.

"Pada jam 5 petang Ahad beberapa rakan anak saya memaklumkan mengalami keracunan makanan dan ada simptom sama," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Zaini Hussin mengesahkan kejadian berkenaan.