Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) memaklumkan, Malaysia berjaya menghasilkan lebih lapan juta tan metrik sisa makanan setiap tahun atau hampir 20,000 tan setiap hari.
Lebih memeranjatkan, 24 peratus daripada jumlah itu atau sekitar 4,000 tan sisa tersebut merupakan makanan yang masih elok untuk dimakan.
Jumlah ini dikatakan mencukupi untuk menyediakan makanan sebanyak tiga kali sehari kepada 2.9 juta individu.
Menyedari hakikat berkenaan, seramai 10 mahasiswa Asasi Sains Sosial dari Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM) meluangkan masa bersama sebuah badan bukan kerajaan (NGO) The Lost Food Project tampil menyelamatkan lebih 100 kilogram sayur-sayuran dan buah-buahan dari pasar dan pembekal di seluruh Lembah Klang, baru-baru ini.
Sayur yang berjaya diselamatkan itu kemudiannya telah diagihkan kepada komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Kuala Lumpur.
Menurut sukarelawan PASUM, Muhammad Irfan Mohd Sukri, pengalaman menyertai aktiviti NGO itu cukup bernilai sepanjang bergelar mahasiswa.
Kata beliau, generasi muda sepertinya perlu melibatkan diri dalam aktiviti sedemikian dan sentiasa cakna dengan hal sekeliling terutamanya berkaitan dengan alam sekitar.
Bagi Amni Zara Mohd Azmin pula, peluang mengikuti program sebegini akan sentiasa diingati sampai bila-bila.
"Dapat bertemu dengan beberapa individu penting seperti Timbalan Presiden The Lost Food Project, Sarah Grasset cukup mengujakan.
"Banyak perkongsian yang beliau berikan tentang program dan aktiviti sukarelawan. Jika diizinkan ALLAH, saya pasti akan ikuti aktiviti sebegini lagi,” katanya yang juga penuntut PASUM.
Sementara itu, dua lagi sukarelawan PASUM iaitu Putri Syaza Alyaa Mohd Aszairi dan Irdina Sofiyyah Ahmad Kamarul Basya tidak ketinggalan mengambil peluang dengan mengenali pelbagai jenis sayur-sayuran menerusi program terbabit.
"Selama ini, kami hanya mengenali daun salad jenis iceberg sahaja berbanding daun salad jenis coral dan romaine.
"Sejujurnya, memang sangat gembira apabila memperoleh ilmu-ilmu baharu. Oleh itu, besar harapan kami agar lebih ramai penuntut terlibat dalam program sebegini yang dapat membina sahsiah diri demi menghasilkan graduan holistik masa hadapan,” ujar mereka.