Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2023 akan dikeluarkan pada 27 Mei ini (Isnin), demikian menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, seramai 395,870 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM tahun lepas di 3,340 pusat peperiksaan seluruh negara.
"Calon sekolah boleh memperoleh keputusan peperiksaan itu dari sekolah masing-masing mulai pukul 10 pagi pada tarikh tersebut.
"Bagi calon persendirian, keputusan peperiksaan akan dihantar melalui pos atau calon boleh menghubungi jabatan pendidikan negeri tempat calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan.
"Pihak sekolah hendaklah memastikan pengurusan penyerahan keputusan peperiksaan SPM 2023 kepada calon dilaksanakan secara cekap dan teratur,” ujar KPM.
Untuk membuat semakan keputusan peperiksaan SPM, KPM berkata, calon sekolah dan calon persendirian boleh menggunakan dua kaedah iaitu:
1) Secara dalam talian menerusi pautan myresultstam.moe.gov.my untuk mendapatkan slip keputusan peperiksaan bermula pukul 10 pagi pada 27 Mei hingga 6 petang 2 Jun 2024.
2) Melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dengan menaip SPM jarak NoKP jarak AngkaGiliran dan hantar ke 15888. Sistem ini akan diaktifkan mulai 10 pagi pada 27 Mei hingga pukul 6 petang 2 Jun 2024.
KPM mengucapkan tahniah kepada semua calon atas keputusan peperiksaan SPM 2023.
Semoga kejayaan yang diraih menjadi pemangkin untuk terus cemerlang dan menyumbang khidmat bakti kepada negara pada masa hadapan.