Penghayatan Hadis 40 Imam al-Nawawi diperluas ke Tabika Kemas

Iklan
Modul pembelajaran Hadis 40 Imam al-Nawawi juga seiring dengan inisiatif Program Tabika Pra Tahfiz yang telah dilaksanakan KKDW bermula tahun ini. (Gambar hiasan)

Kurikulum Pendidikan Islam di Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) seluruh negara akan dimantapkan lagi dengan modul pembelajaran Hadis 40 Imam al-Nawawi yang dijangka bermula Jun nanti.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, buat permulaan pelaksanaan itu bakal membabitkan sebanyak 4,145 daripada 10,840 Tabika Kemas di seluruh negara sebelum diperluas ke semua tabika secara berperingkat pada tahun depan.

Iklan
Iklan

"Sebanyak 4,145 tabika ini melibatkan lebih kurang 80,000 murid. Inisiatif untuk membudayakan dan merakyatkan Hadis 40 Imam al-Nawawi ini merupakan hasrat Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), jadi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di bawah Menterinya yang juga Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) berhasrat memulakannya di peringkat prasekolah," katanya kepada pemberita.

Terdahulu, beliau mewakili Ahmad Zahid pada Majlis Pelancaran Buku Hadis 40 Imam al-Nawawi di Dewan al-Muktafi Billah Shah di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata, modul pembelajaran Hadis 40 Imam al-Nawawi juga seiring dengan inisiatif Program Tabika Pra Tahfiz yang telah dilaksanakan KKDW bermula tahun ini.

"Pada Jun nanti, guru-guru Kemas yang terlibat dengan program Tabika Pra Tahfiz akan menjalani kursus dan latihan...jadi modul pembelajaran Hadis 40 Imam al-Nawawi ini boleh disekalikan dalam program latihan itu," katanya.

Iklan

ASYRAF WAJDI

Asyraf Wajdi berkata, buku yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Kemas dan UniSZA itu berupaya membentuk peribadi, sahsiah dan akhlak dalam diri individu seawal usia kanak-kanak.

"Kalau kita tengok buku Hadis 40 Imam al-Nawawi ini sangat senang difahami kerana ia ringkas dan mudah. Ia bukan soal hafal tetapi untuk dihayati sebagai amalan dalam kehidupan. Saya yakin modul ini boleh dibuat dalam pelbagai bentuk seperti permainan dan nyanyian untuk menarik minat murid prasekolah," katanya.

Asyraf Wajdi turut berhasrat melaksanakan modul pembelajaran Hadis 40 Imam al-Nawawi di lebih 300 institusi pendidikan Mara termasuk Maktab Rendah Sains Mara; GiatMara dan Kolej Kemahiran Tinggi Mara.

"Esok (Selasa) ada mesyuarat Majlis Mara dan saya akan mencadangkan Majlis Mara untuk terus laksanakan perkara ini," katanya. - Bernama