Seramai 25 peserta menyertai program MediHulk: Pre-housemanship Drill di Pusat Latihan MediHulk, Bandar Baru Selayang, Gombak, Selangor awal Mei lalu.
Turut serta dalam program tersebut adalah tujuh penceramah yang terdiri daripada pelbagai kepakaran dan pengalaman.
Mereka ialah Ketua Pegawai Eksekutif Dahlia Medical Group, Dr Dahlia Dahnil; Ketua Jabatan Kecemasan, Persatuan Bulan Sabit Merah, Profesor Datuk Dr Mohamed Alwi; wakil Jabatan Pembedahan Kardiotoraks, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Dr Raja Amin Raja Mokhtar dan Ahli Patologi, Jabatan Pembedahan Kardiotoraks, UiTM, Dr Shenaz Banu Said Khan.
Turut serta, Dekan Fakulti Perubatan, Kolej Universiti KPJ Healthcare (KPJUC), Profesor Dr Rashidi Ahmad; wakil Hospital Selayang, Azero dan wakil Persatuan Bulan Sabit Merah, Dawood.
Program MediHulk: Pre-housemanship Drill anjuran Dahlia Medical Group dengan kerjasama Pulse Medicare bertujuan melengkapi calon pegawai latihan siswazah (pre-houseman) dengan kemahiran dan keyakinan yang diperlukan untuk cemerlang dalam Program Latihan Siswazah.
Melalui gabungan latihan praktikal, bengkel, dan sesi mentor, penganjur berusaha untuk membentuk budaya kecemerlangan dan daya tahan dalam kalangan profesional kesihatan pada masa depan.
Menerusi program tersebut, beberapa sesi latihan praktikal telah dijalankan kepada semua peserta iaitu Resusitasi Kardio-Pulmonari (CPR), Pengurusan Salur Udara (Airway Management), Teknik Jahitan Luka, Pengambilan Darah dan Intravenous.
Selain itu, MediHulk: Pre-housemanship Drill dimeriahkan lagi dengan aktiviti tertentu tajaan Klinik Menara MATRADE, Klinik Perubatan dan Pembedahan Khadijah, Klinik Keluarga Dr Dahlia, Fasa 2B dan Poliklinik An-Nur.