Buat julung kalinya dalam sejarah Jabatan Penjara Malaysia, empat calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Sekolah Integriti (SI) dan Sekolah Henry Gurney (SHG) mendapat keputusan cemerlang gred A+, A dan A-, dalam semua mata pelajaran yang diambil.
Pengarah Pengurusan Banduan Jabatan Penjara, Komisioner Hafidz Osman berkata, daripada jumlah itu, tiga calon mendapat lapan A dan seorang mendapat enam A.
Menurut Hafidz, kesemuanya yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang perempuan berusia antara 17 hingga 21 tahun, merupakan calon dari SI Integriti Marang, Terengganu; SI Kluang, Johor; SI Puncak Alam, Selangor dan SHG Telok Mas, Melaka.
"Tahun ini, kita ada 74 calon (SPM) dari tujuh SI dan tiga SHG. Daripada jumlah itu, kita mencapai keputusan yang terbaik dalam tempoh lima tahun ini, dengan semua calon yang menduduki SPM tahun lepas lulus atau layak mendapat sijil," katanya kepada pemberita selepas sidang akhbar pengumuman keputusan peperiksaan SPM Tahun 2023 di Putrajaya pada Isnin.
Hafidz berkata, kejayaan yang dilakar itu diperoleh hasil inisiatif dan kerjasama erat antara jabatan dan Kementerian Pendidikan (KPM) yang menghantar guru-guru terlatih ke SI dan SHG di seluruh negara.
"Penghuni-penghuni SI dan SHG ini telah mendapat bimbingan secara terus daripada guru yang berkelayakan dari KPM.
"Kebanyakan calon SPM 2023 SI dan SHG adalah lelaki dan mereka ditempatkan di sekolah itu atas pelbagai kesalahan juvana dan penyalahgunaan dadah," katanya.
Ditanya hala tuju calon cemerlang ini, Hafidz berkata pihaknya akan menggalakkan mereka untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi menerusi kerjasama dengan beberapa universiti dan kolej.
"Ini menunjukkan bahawa Jabatan Penjara bukan sekadar nak menghukum, tetapi lebih daripada itu dan kita cuba beri peluang yang lebih baik kepada mereka dari segi pendidikan.
"Sebab kita tahu mereka ini anak-anak muda yang mungkin tersasar sedikit dari landasan kehidupan dan kita akan bantu mereka untuk kembali ke landasan yang sebenarnya," katanya. - Bernama