Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mendapat keputusan cemerlang pada Isnin dan meminta mereka yang kurang cemerlang agar tidak mudah berputus asa.
"Kepada yang peroleh keputusan cemerlang, teruskan usaha kalian dalam mendepani fasa berikutnya dalam kehidupan.
"Kepada yang kurang bernasib baik, ini bukan pengakhiran, sebaliknya masih banyak ruang dan peluang untuk cipta kejayaan baharu," katanya dalam ucapan tahniah beliau menerusi satu hantaran di Facebook.
Seramai 11,713 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A-, dalam semua subjek.
Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, pencapaian calon SPM 2023 adalah lebih baik apabila merekodkan Gred Purata Nasional (GPN) 4.60 berbanding 4.74, pada tahun sebelumnya.
Beliau berkata, nilai GPN yang lebih kecil menunjukkan pencapaian calon yang lebih baik. - Bernama