Lepasan SPM disaran sambung pengajian dalam TVET

Iklan
Negara memerlukan tenaga berketrampilan atau pekerja mahir dan TVET adalah jawapannya.

Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) wajar mempertimbangkan bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sebagai pilihan, untuk menyambung pengajian di peringkat tinggi, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa TVET Negara berkata, saranan tersebut dibuat dengan mengambil kira keperluan negara, untuk menghasilkan lebih banyak tenaga kerja mahir pada masa hadapan.

Iklan
Iklan

"Saya mengucapkan tahniah kepada lebih 11,000 lepasan SPM yang mendapat keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran. Namun, lepasan SPM yang tidak dapat semua A...dunia belum berakhir dan peluang pendidikan akademik masih terbuka luas.

"Mereka boleh ceburi bidang profesional, tetapi yang lebih penting negara kita memerlukan tenaga berketrampilan atau pekerja mahir dan TVET adalah jawapannya," kata beliau.

Beliau mengulas keputusan SPM 2023 yang menyaksikan 11,713 calon memperoleh keputusan cemerlang iaitu Gred A+, A dan A- dalam semua subjek berbanding 10,109 calon pada 2022, sekali gus mencatat pencapaian lebih baik dengan Gred Purata Nasional (GPN) 4.60 berbanding 4.74 pada tahun sebelumnya.

Iklan

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, golongan ibu bapa ketika ini juga dilihat lebih terbuka, dengan menggalakkan anak mereka untuk menjalani kursus TVET.

Ahmad Zahid

Beliau berkata, ini didorong oleh faktor kerjaya dalam sektor TVET, menawarkan kadar gaji premium yang lebih menarik, selain masa depan lebih cerah.

Iklan

"Ini kerana mereka (pelajar TVET) tidak terhenti dalam bidang pendidikan selepas memasuki alam kerjaya. Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan beberapa Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) misalnya, menawarkan kursus terus ke (peringkat) ijazah tanpa memerlukan (keputusan) SPM yang baik.

"Kita juga sudah mengatur beberapa kursus khas dengan 70 peratus kaedah pembelajaran dibuat di bengkel dan makmal, manakala hanya 30 peratus di bilik kuliah dan ini amat menarik kepada pelajar berkenaan," katanya. - Bernama