Pengidap ADHD raih 12A SPM

Iklan
Muhammad Syamer di samping ibu dan bapanya menunjukkan keputusan SPM yang diperoleh.

Usaha gigih seorang pelajar yang menghidap Gangguan Kecelaruan Tumpuan dan Kelasakan (ADHD) berbaloi selepas dia memperoleh 12A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 diumumkan pada Isnin.

Pelajar Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Yayasan Terengganu (YT) Setiu, Muhammad Syamer Haziq Mohd Sofian, 18, mengakui bersyukur dan tidak menyangka cemerlang dalam semua mata pelajaran kerana sebelum ini mendapat E bagi subjek Matematik Tambahan ketika peperiksaan percubaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil latih tubi, belajar bersama rakan di samping amalan solat hajat, bacaan al-Quran, doa daripada ibu bapa dan komitmen tinggi pihak guru menjadi antara faktor kejayaan yang dikecapinya itu.

"Ketika peperiksaan percubaan, saya dapat 9A, 2B dan 1E. Ada bahagian dalam subjek Matematik Tambahan yang saya agak susah untuk faham jadi saya usaha bertanya kepada rakan dan guru mengenai topik itu.

Iklan

"Saya bersyukur, dalam peperiksaan sebenar, daat jawab dan mendapat A bagi subjek itu. Saya juga merakam penghargaan buat semua tenaga pengajar dan rakan-rakan yang banyak membantu," katanya yang bergelar hafiz 30 juzuk al-Quran ketika Tingkatan Empat.

Sementara itu, ibunya, Zamilah Ahmad, 47, yang merupakan seorang guru berkata, anaknya itu disahkan mengalami ADHD ketika berusia 10 tahun.

Iklan

"Muhammad Syamer ini dalam kategori ADHD sederhana cuma dalam aspek pendidikan dia tidak ada masalah sebab dia minat menghafal.

"Cuma, selain ADHD dia ada masalah motor halus iaitu sukar untuk menggunting, butang baju dan ikat tali kasut, tapi bila sudah besar, keadaan dia semakin baik," katanya.

Zamilah berkata, dia dan suami Mohd Sofian Arifin, 49, bersyukur dengan keputusan cemerlang yang diperoleh anak sulung daripada empat beradik itu.

"Rasa syukur sangat sebab sebelum ini saya bimbang juga dia ada mengadu lemah dalam subjek Matematik Tambahan. Alhamdulillah, usaha gigih yang dia lakukan akhirnya membuahkan hasil," katanya.