'ALLAH SWT terima doa saya' - Jemaah haji muda raih 9A SPM 2023

Iklan
Muhammad Ameer bersama ibu bapanya menunjukkan keputusan cemerlang SPM diperolehnya.

Terima keputusan SPM di Masjidil Haram, bersyukur doa dimakbulkan

Jaga solat, jaga hubungan dengan mak dan ayah serta guru selain adab sesama kawan, adalah resipi bagi Muhammad Ammar Che Noor Azam berjaya memperoleh keputusan 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan pada Isnin.

Muhammad Ammar, 18, yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Puchong Utama 1, Selangor itu adalah antara 31,600 jemaah haji Malaysia untuk musim 1445H/2024 yang datang bersama ayahnya, Che Noor Azam Osman, 63, ibu, Kamsiah Mohd Kontol, 51 dan adik, Muhammad Ameer, 17, menerima keputusan SPM selepas solat Subuh di Masjidil Haram.

Iklan
Iklan

"Masa pertama kali tengok keputusan memang rasa gembira sebab sebelum ini saya tidak pernah mendapat semua A dalam mata pelajaran yang diambil.

"Saya rasa ia satu kejayaan besar dan alhamdulillah, ALLAH SWT terima doa saya setiap kali solat dan semasa di Raudah, baru-baru ini,” katanya kepada petugas media di hotel penginapannya di sini dengan ditemani keluarga.

Iklan

Bagi dirinya, selain menjaga hubungan dengan ALLAH dengan menjaga solat, hubungan dengan ibu bapa, guru-guru dan rakan-rakan juga tidak kurang pentingnya untuk mendapatkan reda serta doa mereka.

"Sebabnya kita tidak tahu, mungkin kita sakitkan hati mereka, lalu ALLAH tarik nikmat, sebab itu kita perlu jaga hubungan lebih-lebih lagi dengan ALLAH,” ujarnya.

Iklan

Anak sulung kepada tiga beradik itu turut mengamalkan solat tahajud serta jadual pembelajaran yang lebih fleksibel untuk mengelakkan tekanan serta keletihan semasa belajar dan selebihnya berdoa serta bertawakal.

Muhammad Ammar yang bercita-cita menjadi seorang doktor berkata, dia juga pernah nakal dan ponteng sekolah semasa di Tingkatan Empat iaitu semasa pasca Covid-19 sehingga salah satu mata pelajarannya merosot menyebabkan dia tersentak dan berazam untuk berubah.

"Saya mula mendekati seorang kawan berbangsa Cina, yang merupakan seorang pelajar pintar. Dia tidak jemu mengajar saya dan memberi motivasi agar sama tahap dengan kepandaiannya.

"Sampai satu tahap, saya cuma satu langkah di belakang dia. Kalau dulu mungkin macam langit dengan bumi, tetapi sekarang jarak sebelah menyebelah sahaja. Itu menyebabkan saya terus berusaha sehingga berjaya mencapai keputusan cemerlang ini,” katanya yang turut bersyukur kerana dapat menunaikan haji dalam usia yang muda bersama keluarga.