Percaya dan yakin akan gagal dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjadi antara punca calon tidak hadir menduduki peperiksaan tersebut pada 2023.
Pakar Sosiologi Pendidikan dari Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, kelemahan untuk menguasai mata pelajaran sejak memasuki menengah atas telah mendorong mereka buat keputusan tidak menduduki peperiksaan tersebut.
"Ramai calon di peringkat awal atau ketika Tingkatan 4 merasakan penguasaan mata pelajaran mereka lemah, tidak dapat menguasai pembelajaran yang disampaikan guru dan akhirnya buat keputusan tidak meneruskan peperiksaan SPM tahun berikutnya.
"Ada juga sebab mereka menghadapi masalah kesihatan atau sudah bekerja bagi menampung keperluan hidup. Ada juga berhadapan isu kecemasan seperti kemalangan dan sebagainya.
"Justeru kita berharap pada tahun akan datang, bilangan calon yang tidak menduduki SPM dapat dikurangkan di samping harus mencari jalan untuk memastikan usaha ini dapat dilaksakan," katanya menerusi hantaran video di laman Facebook pada Sabtu.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan memaklumkan, seramai 10,160 daripada 383,685 orang calon baharu SPM 2023 tidak hadir peperiksaan.
Dalam pada itu Anuar berpandangan, Kementerian Pendidikan (KPM) disaran mewujudkan mekanisme penilaian penguasaan pelajar bagi mengenal pasti pelajar lemah yang memerlukan bantuan.
"Kita sebenarnya boleh tahu tahap motivasi dan aspirasi pendidikan pelajar itu sejak awal tahun atau semasa Tingkatan 4 ketika sistem pemantauan prestasi akademik dimulakan.
"Sepatutnya kita lakukan intervensi lebih awal atau laksanakan program yang dapat meningkatkan prestasi mereka, terutama untuk bantu bentuk keyakinan agar lebih bersedia menghadapi SPM.
"Jika sistem pemantauan ini tidak diwujudkan, kita mendapati bukan sahaja mereka hilang keyakinan dan rasa percaya untuk menduduki peperiksanaan, berkemungkinan juga boleh mempengaruhi rakan-rakan supaya tidak duduki peperiksaan tersebut," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut berharap agar KPM segera melaksanakan intervensi bagi mengurangkan isu bilangan calon tidak hadir menduduki SPM.
Malah ujarnya, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pada tahun lalu juga telah berjanji untuk melaksanakan kajian yang hasilnya akan dikongsi kepada masyarakat dan pihak sekolah bagi selesaikan isu berkenaan.
"Kita mahu laporan kajian supaya masyarakat ambil maklum sekali gus turut sama membantu agar anak mereka dapat menduduki SPM dan meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi," katanya.