Pelajar pintar, Azali Azlan menjadi bualan hangat warga maya di media sosial susulan kehadiran semula Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal di akaun Facebooknya baru-baru ini.
Azali yang merupakan alumni Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan, Kedah terkenal dek kebijaksanaanya meraih 20A1 dan 1A2 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2007.
Nik Nur Madihah pula mendapat 20A iaitu 19A1 dan 1A2 dalam SPM 2008.
Menjengah ke laman sosial seperti Facebook dan Instagram, Sinar Bestari mendapati Azali tidak terlalu aktif dalam memuat naik hantaran di akaun peribadinya.
Terbaharu, hanya catatan ringkas bertulis ‘Tahniah’ daripada Azali di Facebook pada 4 November 2023.
Di Instagram pula, kali terakhir beliau berkongsi tulisan pada Januari 2022 mengenai koleksi buku yang dibaca iaitu Atomic Habits by James Clear; I Know Why the Caged Bird Sings by Maya Angelou; Caste: The Origins of Our Discontents by Isabel Wilkerson dan Letters from a Stoic by Seneca.
Hasil pembacaan Sinar Bestari di platform media sosial, Azali atau Dr Azali dikatakan berkhidmat sebagai saintis biologi molekular di United Kingdom (UK).
Malah, dia juga didapati menetap di Baltimore, Maryland, Amerika Syarikat berdasarkan maklumat di Facebook.
Apa-apapun, semoga beliau dan keluarga dalam keadaan yang baik-baik sahaja biarpun di mana sahaja dia menetap.
Artikel kali ini, mengimbas kembali tentang kejayaan Azali dalam SPM 2007.
Antara mata pelajaran yang diambil oleh Azali sehingga berjaya mendapat keputusan penuh 20A1 dan 1A2 dalam peperiksaan itu adalah 20A1 Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab Tinggi, Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan Al-Quran dan Al-Sunnah, Biologi, Kimia, Fizik, Matematik Tambahan dan Sejarah.
Seterusnya Geografi, Perdagangan, Ekonomi Asas Matematik Moden, Prinsip Akaun, Sains Asas, Pendidikan Seni, Pendidikan Islam, Tasawwur Islam dan Kesusasteraan Melayu.
Manakala mata pelajaran Bahasa Inggeris untuk Sains dan Teknologi mendapat 1A2.
Anak kepada pasangan guru, Azlan Othman dan Rozita Sanapi dari Tikam Batu, Kedah, telah dinobatkan pelajar cemerlang SPM 2007 sekali gus meletakkan nama Azali sebagai pemegang rekod keputusan paling tinggi dan cemerlang di Malaysia.
Memetik perkongsian Cikgu Ropizam di Facebook, beliau membuat sedikit catatan mengenai Azali sebagai ibrah (teladan) untuk kita bersama.
Kehidupan Azali
1) Kerap bangun solat malam untuk mengadu dan memohon kepada ALLAH SWT.
2) Sikap suka memuji dan berterima kasih kepada guru yang banyak membantu.
3) Seorang anak yang sangat menghargai ibu bapa dan keluarga.
4) Percaya kepada ALLAH, diri sendiri dan yakinkan kebolehan diri sendiri.
5) Hampir saban hari minum susu, madu dan makan kurma. Diamalkan sepanjang tempoh peperiksaan.
6) Berpuasa bermula hari pertama peperiksaan dan sehingga hari terakhir peperiksaan.
7) Pernah rasa mahu putus asa, anggap ia dugaan.
Ungkapan istimewa Azali untuk semua
1) Berpuasa sepanjang hari peperiksaan adalah usaha terakhir saya selepas berusaha (sebelum peperiksaan)
2) Kejayaan bukan untuk diri sendiri sahaja sebaliknya kejayaan ini untuk ibu bapa (keluarga) dan guru juga.
3) Ayah pesan, lakukan (usaha) selagi ia bukan dosa.
4) Saya belajar dengan sabar, dalam perjuangan mesti ada dugaan dan cabaran daripada ALLAH. Sebagai pelajar Islam, saya perlu sabar, setiap kesusahan itu ada kesenangan.