‘ALLAH adalah kekuatan, untuk mencari kekuatan, carilah ALLAH’
'Apapun, letaklah pengharapan kepada ALLAH. Sebaik manapun kita merancang, yakinlah ALLAH Maha Hebat, ALLAH Maha Baik dan perancangan ALLAH jua yang paling baik untuk kita walaupun kita tidak suka'
Demikian hantaran berbentuk poster yang dimuat naik Facebook SK Jeram Masjid Tanah pada Ahad.
Difahamkan, hantaran itu adalah susulan tragedi bas (rombongan guru) yang terlibat kemalangan dengan sebuah treler di Rompin, Pahang pagi Ahad.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata warganet menzahirkan ucapan takziah kepada warga sekolah dan keluarga mangsa yang terlibat.
"Bagaimana keadaan kalian di sana hari ini? Semoga diberi ketenangan, kekuatan, ketabahan,” tulis Faza Ali Hassan.
"Takziah buat semua warga SK Jeram. Semoga kalian dan seluruh ahli keluarga terus kuat dan tabah, diberikan kekuatan serta dipermudahkan segala urusan. Ikhlas dari PIBG SK Taman Senangan, Pulau Pinang,” ujar Nora Hussin.
"Assalamualaikum warga SK Jeram Masjid Tanah. Salam takziah diucapkan. Semoga anak-anak murid di sana kuat semangat dan doakan buat guru-guru kita ya,” catat Lyyana A Mahat.
"Salam takziah seluruh warga SK Jeram dan ahli keluarga. Moga diberikan kekuatan, ketabahan dan dipermudahkan segala urusan kalian. Aminnn,” ujar Nor Haniza Mohamad.
Sementara itu, Sinar Bestari memetik perkongsian yang cukup menyentuh hati daripada Cikgu Zahran di laman Facebooknya.
"Pagi ini mungkin pagi paling suram buat warga SK Jeram Masjid Tanah. Sesi persekolahan hari ini semestinya penuh kedukaan. Kami warga pendidik di seluruh Malaysia turut merasai kesedihan itu. Besar kehilangan apabila dua guru kembali menghadap ilahi dalam kemalangan tragis ini. Malah Pembantu Operasi mereka yang bakal bersara turut terkorban. Apatah lagi ramai guru guru masih dirawat di hospital. Semoga tabah buat semua warga SK Jeram, guru, murid dan semua ahli keluarga yang terlibat. Tak dapat digambarkan kedukaan ini kerana peristiwa hitam yang pastinya takkan dilupakan. Doa kami buat anda semua.”
Terdahulu, sebuah bas yang membawa 39 orang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 126 Jalan Kuantan-Segamat dekat Simpang Tiga Bahau, Muadzam Shah, Pahang.
Bas berkenaan dikatakan dalam perjalanan membawa rombongan guru SK Jeram menuju ke Terengganu bagi menghadiri program penanda aras.
Setakat ini, empat mangsa dilaporkan maut iaitu Penolong Kanan SK Jeram, Cikgu Hasnatul Adilah Hassan; Ustazah Dahlia Ahmad; pemandu kedua bas, Hadi Ashraf Mad Idris dan pembantu operasi sekolah, Hamzah Ahmad.