Anugerah Graduan Keusahawanan Cemerlang milik Mior Khumaini si usahawan perabot

Iklan
Mior Khumaini (tengah) bersama ibu, Sharifah Asniza (kanan) dan adiknya usai Majlis Konvokesyen Perdana IPMA 2024.

Selain cemerlang dalam pembelajaran sepanjang pengajian Diploma Teknousahawan Reka Bentuk dan Pengeluaran Perabot di Institut Kemahiran Mara (IKM) Alor Setar, Kedah, Mior Khumaini Khuzaid turut berjaya bergelar usahawan perabot dengan perniagaannya mencecah jualan RM100,000.

Menerusi kejayaan jualan yang mencapai sasaran melebihi RM50,000 itu juga telah mengangkat Mior Khumaini sebagai penerima Anugerah Graduan Keusahawanan Cemerlang (AKU) dalam Majlis Konvokesyen Perdana IPMA 2024 pada Isnin.

Iklan
Iklan

Mior Khumaini ketika ditemui Sinar Bestari berkata, dia tidak pernah terfikir untuk terlibat secara langsung dalam bidang perniagaan lebih-lebih lagi usahawan perabot memandangkan bukan berasal keluarga yang berniaga.

Namun, ia tidak menjadi satu alasan malah dia tetap mencuba meneruskan perniagaannya itu ketika masih bergelar pelajar di IKM apatah lagi jurusan yang dipilihnya memerlukan dia mengerjakan sesuatu perniagaan.

Iklan

"Alhamdulillah, dari zaman belajar lagi saya sudah didedahkan dengan selok-belok perniagaan terutamanya dalam bidang usahawan perabot.

"Disebabkan itu juga, saya bangunkan syarikat sendiri bernama STYLUXFURNITURE di Sungai Petani, Kedah yang memfokuskan barangan perabot dibuat khas mengikut permintaan pelanggan seperti almari, kabinet dapur dan lain-lain lagi,” katanya.

Iklan

Anak ketiga daripada empat beradik itu memberitahu, perniagaannya sudah memasuki tahun ketiga berada di pasaran dan semakin dikenali di sekitar kawasan utara Malaysia seperti Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

Justeru, dia berhasrat mengembangkan lagi perniagaannya ke seluruh negara dan menjadi salah seorang usahawan perabot yang berjaya.

"Syarikat saya ini bertapak di Sungai Petani dan kebanyakan pelanggan juga datangnya daripada sekitar utara Malaysia.

"Insya-ALLAH, sasaran saya untuk lima tahun akan datang agar dapat memperluaskan lagi perniagaan dengan menakluki seluruh Malaysia,” ujarnya.

Dalam pada itu, ibunya, Sharifah Asniza Ismail melahirkan rasa bangga dan kagum dengan pencapaian anaknya dalam bidang perniagaan.

"Alhamdulillah, Mior Khumaini memang seorang anak yang baik dan saya sebagai ibu amat bangga dengan pencapaiannya.

"Sebab dia berjaya sehingga ke tahap ini atas usaha sendiri yang boleh saya katakan dari kosong sampailah berjaya hasilkan satu bahan yang berguna daripada sekeping kayu,” katanya.

Tambah Sharifah Asniza, dia juga tidak menyangka anaknya itu akan terlibat secara serius dalam bidang perniagaan memandangkan keluarganya bukan berlatar belakangkan keluarga yang berniaga.