"232 cawangan GiatMara beri peluang kedua kepada anak Bumiputera dalam bidang TVET walaupun tiada SPM. Dari GiatMara boleh sambung di IKM kemudian Kolej Kemahiran Tinggi Mara dan UniKL"
Demikian hantaran Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki di akaun Facebook baru-baru ini.
Perkongsian Asyraf Wajdi itu telah mendapat maklum balas yang cukup positif dalam kalangan warga maya terutamanya ibu bapa dan penjaga.
Masing-masing teruja untuk menghantar anak mereka ke institusi pendidikan yang menawarkan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) kerana yakin, produk keluaran jurusan kemahiran mampu pergi jauh terutamanya dalam bidang pekerjaan.
Rencana kali ini, membincangkan pengertian tentang definisi GiatMara dan Institut Kemahiran Mara (IKM).
Tulisan oleh Nor Shazwani Shamshudin di media sosial Facebook Selasa lalu, padat dengan info yang diperlukan masyarakat terutamanya mereka yang bergelar pelajar dan ibu bapa serta ibu bapa.
*****
GiatMara dan IKM adalah institusi Pendidikan TVET bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Ia terbuka kepada warganegara, Melayu atau Bumiputera.
Yuran pengajian ditanggung Mara (percuma) dan Elaun Sara Hidup (ESH) diberikan kepada pelajar.
GiatMara memberi kemudahan asrama atau rumah transit manakala IKM menyediakan kemudahan asrama kepada para pelajar.
Kedua-dua institusi menyediakan graduan ke alam pekerjaan, menyambung pengajian atau boleh juga menjadi usahawan dengan bimbingan Mara.
1) GiatMara
Syarat asas layak memohon ialah 15 tahun ke atas, boleh membaca, menulis, tahu asas mengira dan ada minat.
Bagaimanapun, ada program yang mewajibkan pemohon tamat Tingkatan Lima iaitu bawah kluster Elektrik. Ini kerana syarat tersebut ditetapkan Suruhanjaya Tenaga (ST).
Ada di setiap parlimen seluruh Malaysia cuma program ditawarkan berbeza setiap cawangan. Boleh lakukan carian di internet.
Graduan akan menerima Sijil Profesional Mara dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK). Ada SKM 2 dan SKM 3 mengikut program.
Lepasan GiatMara boleh menyambung pengajian ke IKM dan Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) untuk peringkat seterusnya.
2) IKM
Syarat asas layak memohon ialah 17-45 tahun. Terbuka kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau SKM.
Untuk lepasan SPM, ada kelayakan akademik tertentu mengikut program.
Jika memegang SKM dari mana-mana institusi TVET termasuk GiatMara perlu dalam bidang setara. Contoh SKM 3 bidang Kimpalan boleh mohon Diploma Kompetensi Kimpalan di IKM.
Ada di semua negeri seluruh Malaysia. Selain IKM ada juga KKTM.
Graduan akan menerima sijil atau diploma Mara yang mendapat pengiktirafan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), JPK, ST, Board of Engineers Malaysia (BEM), Industri dan sebagainya.
Contoh: Diploma Teknologi Kejuruteraan pengiktirafan MQA, JPK, ST dan BEM.
Lepasan IKM boleh menyambung pengajian ke KKTM/ German-Malaysian Institute (GMI)/ Universiti Kuala Lumpur (UniKL) atau mana-mana institut pendidikan tinggi awam (IPTA) dan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).
"Macamana nak pilih sama ada ke GM atau IKM?"
Pilihlah ke GiatMara jika syarat akademik tidak melayakkan anda terus ke IKM.
Atau jika kursus yang anda minat ada di GiatMara dan tidak ditawarkan di IKM.
Contoh: Di GiatMara ada kulinari dan di IKM kita fokus teknikal sahaja.
Ada juga program di GiatMara dan turut ditawarkan di IKM.
Contoh bidang elektrik, tetapi peringkat berbeza.
Contoh di GiatMara SKM 2/3. Di IKM pula Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) 4/5. Jadi, jika bermula di GiatMara, sambunglah di IKM pula.
Di harapkan pencerahan ini dapat membantu para pelajar yang ingin melanjutkan pembelajaran ke GiatMara atau IKM.
Semoga bermanfaat.