Seorang penuntut Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) sanggup menangguhkan pengajiannya selama dua tahun semata-mata menjaga bapanya yang menghidap kanser otak.
Muhammad Afif Mohd Ezani, 25, mula mendaftar masuk universiti itu pada 2019 sebelum memohon menangguhkan pengajian pada 2022 kerana ibunya, Zaini Yasin, 60, meninggal dunia akibat serangan jantung manakala bapanya, Mohd Ezani Abas, 62, disahkan mengalami kanser otak tahap empat.
"Pada mulanya saya fikir untuk habiskan sahaja pengajian sebab hanya tinggal setahun lagi, tetapi kalau saya belajar pun rasa tak boleh nak fokus sebab memikirkan keadaan ayah yang sedang sakit.
"Lepas berbincang dengan semua adik-beradik saya pun buat keputusan ni. Lagipun waktu tu nak jaga ayah perlu lebih daripada seorang sebab perlukan tenaga untuk angkat dan mandikan dia," katanya ketika ditemui di Pangsapuri Kampung Tiong, Kuala Terengganu, Terengganu baru-baru ini.
Menurut Muhammad Afif, walaupun agak ketinggalan dan kesemua rakan-rakannya telah menamatkan pengajian serta mula bekerja, dia tidak berasa ralat kerana berpuas hati dapat menjaga bapanya itu.
"Saya berpuas hati kerana dapat berbakti kepada ayah dan menjaga dia ketika ini. Kalau ikutkan keadaan ayah ini, doktor beritahu peluang untuk dia hidup amat tipis.
Muhammad Afif yang mengambil Ijazah Teknologi Pembinaan berkata, dia akan kembali ke universiti Oktober depan dan adiknya yang juga belajar di universiti sama akan mengambil alih tugas menjaga bapa.
"Disebabkan tempoh maksimum universiti benarkan untuk tangguh pengajian hanya selama dua tahun, selepas ini adik bongsu yang kini menuntut dalam jurusan Hartanah pula akan tangguh pengajian untuk bergilir jaga ayah," katanya yang tinggal bersama kakaknya, Nur Anis Mohd Ezani, 36.
Mohd Ezani yang juga pesara guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ibrahim pernah membuat rawatan membuang ketumbuhan dalam kepala pada 2020 selain turut mengalami masalah jantung.
"Sebelum ini, ayah pernah buang ketumbuhan dalam kepala, selepas rawatan, dalam setahun ayah sihat dan boleh memandu kereta.
"Selang setahun, sel kanser kembali menyerang ayah sekitar 2022. Sebelum kena, dua tiga hari sakit gigi, pening kepala dan tidak sedarkan diri sebab kena sawan.
"Lepas hantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) ayah disahkan hidap kanser tahap akhir," katanya.
Ditanya mengenai bantaun yang diterima, Muhammad Afif berkata, disebabkan ibu dan bapanya merupakan pesara guru, wang yang ditinggalkan itu dimanfaatkan sebaik mungkin.
Selain itu, katanya, mereka tujuh beradik berpakat dan saling bantu-membantu daripada sudut kewangan.
Bercerita lanjut, Muhammad Afif memberitahu, Mohd Ezani tidak pernah dibiarkan seorang diri di rumah.
"Kami bimbang kalau ada apa-apa berlaku sebab ayah tidak boleh bangun sendiri, tidak boleh bercakap sepenuhnya dan perlu dibantu sepanjang masa," katanya.