Yayasan Pendidikan MAIDAM (YPM) menyediakan peruntukan sebanyak RM74.8 juta bagi membiayai program pendidikan tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Norhana Yaakub berkata, jumlah peruntukan itu meningkat berbanding RM62.9 juta pada tahun lepas.
Beliau berkata, antara faktor peningkatan termasuk pembiayaan pelajar bagi program biasiswa penuh ke Tunisia dan Algeria dalam beberapa bidang termasuk pengajian Islam mulai tahun ini.
"Tahun lepas untuk biasiswa luar negara kita hantar lebih 20 pelajar ke Jordan untuk lanjutkan pelajaran dalam bidang pengajian Islam di peringkat Ijazah, Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah.
"Untuk tahun 2024, kita akan mula hantar pelajar ke Tunisia dan Algeria. Kuota untuk tiga negara itu termasuk Jordan dalam 60 lebih pelajar," katanya.
Menurut Norhana, selain penghantaran pelajar ke luar negara YPM turut melaksanakan 11 lagi program pendidikan bagi melahirkan generasi yang menyumbang kepada ekonomi dan sosial sejagat.
Antaranya bantuan awal pengajian, bantuan institusi pengajian tinggi (IPT), bantuan sekali bayar ke luar negara dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk anak asnaf.
Beliau berkata, tahun lepas YPM telah membelanjakan lebih RM2 juta untuk program latihan TVET yang dijalankan dengan kerjasama institusi kerajaan dan pihak industri.
"Sebanyak 12,000 pelajar pula telah mendapat manfaat daripada program bantuan awal pengajian yang kita laksanakan setiap tahun.
"Bantuan awal ini membolehkan pelajar membuat persiapan dengan lebih baik untuk pelbagai peringkat termasuk matrikulasi, diploma dan ijazah," katanya. - Bernama