Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan tindakan sewajarnya berhubung kes buli yang dilaporkan di sebuah sekolah di Perak.
Menterinya, Fadlina Sidek berkata, menjadi keutamaan KPM untuk menangani kes buli yang berlaku di institusi pendidikan.
Menurutnya, kementerian juga telah menetapkan peraturan dan menambah baik segala garis panduan bagi mengekang kes buli khususnya di institusi bawah KPM.
"Jadi, saya ambil kesempatan ini untuk terus memperingatkan khususnya ibu bapa para guru komuniti dan juga anak-anak supaya tidak terjebak dengan gejala buli ini dan kita sudah pun menetapkan peraturan.
"Kita juga sudah menambah baik segala garis panduan kita berkaitan mengekang kejadian buli khususnya di institusi pendidikan di bawah KPM," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan di Pusat Media PRK Sungai Bakap di sini, pada Selasa.
Sebelum ini, media melaporkan polis menyiasat satu video tular di media sosial yang memaparkan kejadian buli melibatkan beberapa pelajar perempuan dari sebuah sekolah menengah di daerah Kerian di sini.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, siasatan dilakukan selepas menerima laporan daripada pelajar perempuan berusia 13 tahun pada Selasa.
Terdahulu, video berdurasi 1 minit 21 saat itu menunjukkan seorang pelajar perempuan dibuli dua pelajar lain sehingga tular di media sosial telah mencetus kemarahan warganet.
Pelajar yang memakai baju hijau telah menampar mangsa tiga kali manakala rakannya menampar sekali.
Mangsa dilihat hanya menangis dan menahan tamparan daripada seniornya itu tanpa melawan.