Kehadiran ramai anak-anak muda dan para pelajar dari Bidor, Perak ke Parlimen pada Khamis, menarik perhatian Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir untuk beramah mesra dengan mereka.
Kata Zambry, kehadiran generasi muda secara tidak langsung menjadikan suasana Parlimen meriah.
"Alhamdulillah, saya sempat bertegur sapa dengan anak-anak ini.
"Saya doakan anda semua mendapat sesuatu yang bermanfaat, ilmu baru daripada lawatan dan menjadikan pengalaman ini sesuatu yang berharga untuk dibawa pulang. Selamat berjaya semua,” tulisnya mnerusi hantaran di akaun Facebook.
Menurut portal rasmi Parlimen Malaysia, Parlimen merupakan badan perundangan tertinggi di Malaysia.
Parlimen terdiri daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara, Dewan Negara dan Dewan Rakyat.
Mengikut Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, hanya Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sahaja boleh memanggil Parlimen untuk bersidang.
Baginda juga mempunyai kuasa mutlak untuk menghenti atau pun membubarkan Parlimen.
Justeru, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong diperuntukkan oleh Perlembagaan untuk menetapkan persidangan Parlimen dalam tempoh masa enam bulan di antara persidangan yang lepas dalam penggal terakhir dan tarikh mesyuarat pertama dalam persidangan penggal akan datang.
Bagi Dewan Rakyat, Ketua atau Timbalan Ketua Majlis Mesyuarat perlu memastikan tarikh-tarikh persidangan yang akan diadakan pada penggal berkenaan sekurang-kurangnya dalam tempoh masa 28 hari sebelum sesuatu persidangan boleh bermula.
Bagaimanapun, Ketua atau Timbalan Ketua Majlis Mesyuarat boleh meminda tarikh-tarikh yang telah ditetapkan dari semasa ke semasa mengikut keperluan.
Parlimen akan terus bersidang selama lima tahun dari tarikh pertama persidangan diadakan selepas pilihan raya umum kecuali ia dibubarkan terlebih dahulu.
Setelah genap tempoh masa lima tahun, Parlimen dengan sendirinya terbubar.
Dalam tempoh masa 60 hari, pilihan raya umum bagi memilih wakil-wakil Dewan Rakyat mestilah diadakan.
Selepas itu persidangan Parlimen hendaklah dtetapkan pada satu tarikh yang tidak melebihi 120 hari dari tarikh pembubarannya.