Serangan petropoda: Guru, ibu bapa perlu cakna larangan aktiviti air di perairan Mersing

Iklan
Orang ramai diminta menjauhi aktiviti berkaitan air di perairan Mersing berikutan kehadiran 'gastropoda' dikenali sebagai Petropoda di perairan berkenaan ketika ini. - Foto Institusi Penyelidikan Perikanan Batu Maung
Musim cuti sekolah bakal bermula tidak lama lagi dan pastinya ramai pihak terutama ibu bapa dan guru-guru mengambil peluang ini untuk melepaskan tekanan dengan bercuti.

Disebabkan Malaysia merupakan salah sebuah negara yang kaya dengan keindahan alam dan kepelbagaian yang tersendiri menjadikan negara ini sebagai destinasi pilihan utama.

Ia termasuklah dengan keindahan hutan yang menarik untuk diterokai serta kecantikan pantai yang menjadi lokasi pelancongan.

Namun, baru-baru ini kita dikejutkan dengan pemberitahuan larangan melakukan aktiviti air di perairan Mersing, Johor disebabkan oleh serangan ‘gastropoda’ yang merupakan organisma akuatik berbahaya dan boleh mendatangkan kemudaratan kepada manusia.

Terpanggil untuk berkongsi maklumat ini, Sinar Bestari kongsikan mengapa organisma ini boleh mengakibatkan bahaya kepada manusia sekiranya terkena sengat.

Gastropada atau lebih mudah dikenali sebagai Petropoda (creseis acicula) merupakan organisma akuatik yang mempunyai sengat dan boleh menyebabkan keradangan, kegatalan, kekeringan, pengelupasan, kemerahan dan kulit bersisik kepada mangsa yang terkena sengatan.

Kesemua kesan ini mempunyai kaitan dengan tindak balas hipersensitif pada bahagian kulit manusia dan dinasihatkan untuk segera mendapatkan bantuan perubatan segera jika terkena sengatan.

Sebelum ini media melaporkan, Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Johor, Nurhuda Ibrahim menyatakan kehadiran organisma akuatik itu dikesan oleh pasukan penyelidik daripada Institut Penyelidikan Perikanan Batu Maung pada 11 Jun lalu di kepulauan Mersing.

"Petropoda berasal daripada perairan tropika dan subtropika. Perubahan iklim, peningkatan suhu dan air ‘ballast’ perkapalan dipercayai menjadi punca penyebaran spesis ke perairan Malaysia.

"Serangan ini dijangka akan berakhir selepas peralihan monsun,” katanya.

Justeru, Sinar Bestari ingin mengingatkan agar semua guru dan ibu bapa untuk cakna akan hal ini serta mengelakkan memilih pantai berkenaan sebagai destinasi pelancongan buat masa terdekat.