Grab Malaysia lancar GrabScholar

Iklan
GrabScholar menyediakan biasiswa universiti dalam bidang kelestarian, perniagaan dan STEM di semua universiti awam seluruh negara.

Grab Malaysia melancarkan GrabScholar sebagai proses mendemokrasikan pendidikan dengan menawarkan biasiswa dan bantuan kewangan kepada lebih 300 pelajar di negara ini.

Pelancaran GrabScholar itu turut mendapat kerjasama bersama antara Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) dan GoBarakah.

Iklan
Iklan

Pengarah Urusan Grab Malaysia, Adelene Foo berkata, pendidikan adalah pemangkin yang penting untuk mobiliti antara generasi dan transformasi masyarakat.

"Dengan pengenalan GrabScholar, kami memperkukuhkan komitmen untuk memberdayakan semua rakyat Malaysia.

Iklan

"Melalui GrabScholar juga, kami ingin membantu mereka yang memerlukan dengan memberikan bantuan dan menawarkan peluang untuk meningkatkan status sosio-ekonomi,” ujarnya dalam kenyataan media pada Khamis.

Beliau berkata, GrabScholar akan menyediakan biasiswa universiti untuk pelajar di peringkat ijazah khususnya dalam bidang kelestarian, perniagaan dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di semua universiti awam seluruh negara.

Iklan

"Biasiswa ini merangkumi yuran pengajian penuh, elaun, peluang latihan industri dan program pembangunan kepimpinan unik selama dua tahun,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YTAR, Ida Thien berkata, pihaknya sangat gembira bekerjasama dengan Grab Malaysia menerusi inisiatif GrabScholar.

"Kami percaya bahawa untuk negara benar-benar berkembang, perlu ada masyarakat yang adil dan pelbagai.

"Kerjasama ini membolehkan kami memberdayakan lebih banyak belia berpotensi tinggi dan layak dengan kemahiran, sumber serta ketahanan untuk membentuk masa depan yang lebih baik untuk diri mereka, komuniti dan Malaysia,” ujarnya.

Selain membantu golongan mahasiswa, GrabScholar melalui GoBarakah akan memberikan bantuan kewangan kepada 300 pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara bagi mengurangkan beban kepada keluarga penerima.

Pengasas Bersama di GoBarakah, Azrin Ajib pula berkata, program bursary membolehkan pihaknya memperluaskan jangkauan dan membantu lebih banyak keluarga dalam mengurangkan beban kewangan pendidikan yang ditanggung.

Dalam pada itu, tarikh tutup permohonan Biasiswa Universiti GrabScholar adalah pada 22 Julai 2024 manakala permohonan bantuan bursary sekolah akan dibuka hingga 31 Julai 2024.

Maklumat lanjut mengenai GrabScholar, termasuk butiran mengenai setiap inisiatif dan prosedur permohonan, sila lawati: grb.to/GrabScholar-MY