Ekoterapi, pengurusan stres semula jadi

Iklan
Mengalami dan menghargai keindahan hutan hijau melalui ekoterapi.

Ekoterapi, juga dikenali sebagai terapi alam, merupakan salah satu kaedah terapi melibatkan interaksi antara manusia dengan alam semula jadi sebagai cara untuk meningkatkan kesihatan mental dan kesejahteraan emosi individu.

Kaedah ini merangkumi pelbagai aktiviti seperti berjalan di hutan, mendaki bukit dan gunung, menikmati kehijauan hutan dan deru air sungai yang mengalir, memerhati keunikan biodiversiti, serta meluangkan masa berkhemah di dalam hutan.

Iklan
Iklan

Pendekatan ekoterapi kini semakin mendapat perhatian para penyelidik serata dunia bagi menangani masalah kesihatan mental yang semakin meningkat dalam kalangan belia, terutamanya mahasiswa universiti.

Menurut kajian, mahasiswa yang sering merasa tertekan akibat tuntutan tugasan akademik boleh merasa lebih tenang setelah menghabiskan masa ditemani kehijauan hutan.

Iklan

Selain manfaat dari aspek mental, aktiviti ekoterapi seperti berjalan di dalam hutan juga memberi manfaat fizikal seperti meningkatkan kecergasan dan kesihatan jantung.

Menyedari kepelbagaian manfaat yang boleh didapati menerusi aktiviti-aktiviti sebegini, sekumpulan mahasiswa Universiti Malaya (UM) dari Kolej Kediaman Pertama telah menubuhkan sebuah kelab berasaskan ekoterapi bernama ‘ASTAR Recreational and Educational Club’ (ASTREC).

Iklan

Pengetua Kolej Kediaman Pertama UM, Dr Mohd Istajib Mokhtar menjelaskan objektif penubuhan kelab iaitu mencipta platform untuk mahasiswa berekreasi sambil belajar, dan melahirkan pemimpin yang mencintai alam sekitar.

"Dengan menghubungkaitkan aktiviti gaya hidup sihat dengan usaha kelestarian alam dan komuniti setempat, kita boleh menghasilkan mahasiswa holistik yang cinta akan alam semula jadi, sekali gus memupuk niat melindungi ‘planetary health’ (kesihatan bumi) pada masa hadapan.” kata beliau.

Mahasiswa jurusan undang-undang UM, As’ad Zufayri semasa menerangkan ekspedisi pertama ke Taman Negara Pahang berkata program itu diadakan untuk memberi peluang ahli kelab menikmati ‘mandi hutan’ sebenar, berlatar belakangkan hutan hujan tropika yang berusia lebih 100 juta tahun.

"Mereka juga berpeluang menyantuni masyarakat orang asli suku Batek yang menjadi penghuni tetap Taman Negara,” tambah As’ad merangkap pengarah ekspedisi tersebut.

Menurut Dr Mohd Istajib, rata-rata para peserta memberikan respon positif di penghujung program.

"Saya harapkan program ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan dengan penambahbaikan yang akan mempertingkatkan daya tahan mahasiswa, di samping memupuk kepentingan konservasi biodiversiti di dalam diri mereka,” akhir kata beliau.