Keputusan rayuan enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang dipenjara 18 tahun selepas didapati bersalah menyebabkan kematian tanpa niat Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain tujuh tahun lepas, akan diketahui esok.
Keputusan itu dijangka diumumkan oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail, Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin pada 9 pagi.
Keenam-enam bekas penuntut itu ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati keenam-enam tertuduh bersalah atas pertuduhan dengan niat menyebabkan kecederaan kepada Zulfarhan tanpa niat membunuh, mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 30 tahun dan dikenakan denda jika perbuatan itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan kematian.
Kesemua mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bilik di blok penginapan Asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017.
Zulfarhan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.
Pada hari sama, mahkamah juga akan menyampaikan keputusan terhadap rayuan 12 lagi bekas penuntut universiti sama yang dihukum penjara tiga tahun kerana mencederakan Zulfarhan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan.
Mereka ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri Agus, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Ady Sani dan Mohamad Syazwan Musa.
Kesemua mereka yang kini berusia 28 tahun didakwa melakukan perbuatan itu di dua bilik, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 21 dan 22 Mei 2017. - Bernama