Sepanjang dua hari berlangsung, sambutan meriah dapat dilihat menerusi penganjuran Hari Kantin Sinar Bestari x Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Kompleks Karangkraf, Shah Alam, Selangor.
Ia kerana, pelbagai produk kreatif dan makanan serta minuman sedap telah dijual dengan harga cukup berpatutan sekali gus membuatkan pengunjung berpuas hati dengan menu tersebut.
Hari Kantin Sinar Bestari X PTPTN yang dirasmikan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid pada Jumaat, turut menganjurkan demo masakan Chef Asma bersama Pengurus Besar Kanan, Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar pada Sabtu.
Orang ramai berpeluang menyaksikan demo berkenaan yang diadakan dalam suasana secara santai.
Sementara itu, sebanyak 10 buah sekolah telah terlibat sepanjang Hari Kantin Sinar Bestari X PTPTN.
Sekolah-sekolah itu terdiri dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Utama, SMK (Perempuan) Raja Zarina, SMK Seksyen 9, SMK Seksyen 19 dan SMK Bukit Kapar.
Hadir sama SMK Putrajaya Presint 9 (2); Kolej Islam Sultan Alam Shah, SMK Selayang Bharu, Sekolah Kebangsaan (SK) Puchong Indah dan SK Bukit Kuda.
Terdahulu, Karnival Rakyat Karangkraf yang diadakan selama tiga hari bermula Jumaat hingga hari ini, menyajikan banyak aktiviti dan pengalaman istimewa kepada orang ramai.
Antara tarikan yang disediakan adalah Tapak Permainan Suka Ria Sinar Bestari x Sinar Plus, Rumah Puaka Nusantara, Mini Zoo, Sukaneka Rakyat, SinarPlus MakanFest, Fiesta Kucing TomKraf Jualan Buku Karangkraf dan Jualan Rahmah Madani.
Karnival Rakyat Karangkraf yang dilancarkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali adalah karnival yang mengembalikan nostalgia zaman dahulu menerusi tema tradisional dan kerakyatan melibatkan dua komponen utama iaitu sukan rakyat dan pentas rakyat.