Seramai 1,500 guru yang terpilih di seluruh negara akan mengikuti Apple Learning Coach bermula tahun ini.
Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Apple Learning Coach merupakan program pensijilan profesional percuma yang melatih jurulatih instruksional dan para pendidik untuk membimbing guru memanfaatkan sepenuhnya teknologi Apple dalam pengajaran dan pembelajaran.
"Inisiatif ini selaras dengan Dasar Pendidikan Digital (DPD) khususnya bagi Teras 2, yang memberikan keutamaan kepada pemerkasaan kompetensi digital pendidik melalui program pembangunan profesional yang berterusan.
"Peserta Apple Learning Coach akan mengikuti kurikulum dalam talian yang dibimbing oleh Apple Professional Learning Specialists merangkumi modul akses kendiri dan bengkel maya secara langsung selama dua hari,” kata KPM pada Sabtu.
Ujar KPM, pembangunan profesional itu turut menyumbang kepada mata kredit pembelajaran profesional guru.
"Program tersebut sejajar dengan Teras 6 DPD - bekerjasama dengan syarikat seperti Apple untuk mempercepat pencapaian visi DPD bagi melahirkan generasi fasih digital yang berdaya saing, menerusi peningkatan kemahiran 100,000 guru menjelang 2027,” akhiri kementerian itu.