Penganjuran Hari Kantin Sinar Bestari X Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sempena Karnival Rakyat Karangkraf berlangsung meriah dengan kehadiran ramai pengunjung.
Berlangsung di Kompleks Karangkraf di sini, Hari Kantin X PTPTN menyediakan pelbagai produk kreatif dan menu makanan serta minuman dengan harga berpatutan, sekali gus membuatkan pengunjung berpuas hati.
Turut diadakan ialah demo masakan Chef Asma bersama Pengurus Besar Kanan, Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar.
Orang ramai berpeluang menyaksikan demo berkenaan yang diadakan dalam suasana santai.
Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid memuji program berkenaan yang dilihat dapat memupuk ilmu keusahawanan dan pelbagai kemahiran lain dalam kalangan para pelajar.
"Melalui penglibatan dalam aktiviti Hari Kantin X PTPTN, mereka dapat memahami aspek jualan, pengurusan kewangan dan meningkatkan kemahiran komunikasi serta kerjasama.
"Selain itu, para pelajar dan guru juga memperoleh pelbagai informasi mengenai perkhidmatan dan maklumat yang ditawarkan PTPTN secara lebih dekat di reruai yang disediakan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Hari Kantin X PTPTN pada Jumaat.
Ditanya mengenai tabungan awal dalam kalangan pelajar, Ahmad Dasuki berkata, perkara itu sangat penting untuk membantu pelajar memahami konsep asas kewangan.
"Kita (PTPTN) galakkan tabungan awal untuk keperluan masa depan seperti melanjutkan pengajian pendidikan tinggi, membeli peralatan belajar atau keperluan mendesak yang tidak dijangka,” ujarnya.
Sementara itu, Editor Eksekutif Gaya Hidup dan Hiburan Sinar Harian, Meen Tahrin berkata, Hari Kantin X PTPTN berjaya mencapai objektifnya iaitu untuk menggalakkan sekolah yang terdiri daripada guru, pelajar dan ibu bapa turut serta dalam program Hari Kantin yang julung kali diadakan.
"Saya gembira melihat penglibatan semua pihak dalam komuniti sekolah yang bekerja keras mencari wang untuk dana sekolah.
"Insya-ALLAH, kami dalam perancangan mengkomersialkan Hari Kantin dan memperbesarkannya lagi. Tidak lupa juga memperbanyakkan acara khas untuk Hari Kantin seperti mengadakan pelbagai pertandingan dan hadiah yang lebih menarik,” katanya yang turut merakamkan ucapan terima kasih kepada PTPTN kerana sudi berkolaborasi untuk Hari Kantin.
10 sekolah terlibat
Hari Kantin X PTPTN menyaksikan penglibatan 10 sekolah yang mempromosikan pelbagai jenis produk makanan dan minuman serta hasil keuntungan digunakan untuk membaik pulih atau menambah baik fasiliti sekolah masing-masing.
Sekolah-sekolah tersebut terdiri daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Utama; SMK (Perempuan) Raja Zarina; SMK Seksyen 9; SMK Seksyen 19 dan SMK Bukit Kapar.
Turut serta ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Puchong Indah; SK Bukit Kuda; SMK Putrajaya Presint 9 (2); Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) dan SMK Selayang Bharu.
Sepanjang aktiviti Hari Kantin, penganjur mempertandingkan tiga kategori iaitu Gerai Paling Kreatif/Unik, Gerai Paling Meriah dan Gerai Untung Banyak kepada sekolah yang terlibat.
Gerai Paling Kreatif/Unik dimenangi KISAS dengan membawa pulang wang tunai RM300, hamper dan sijil penyertaan.
Kategori Gerai Paling Meriah dan Gerai Untung Banyak pula diberikan kepada SK Bukit Kuda dan SK Puchong Indah, masing-masing meraih RM200, hamper dan sijil penyertaan.
Terdahulu, Karnival Rakyat Karangkraf yang diadakan selama tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad lalu menyajikan banyak aktiviti dan pengalaman istimewa kepada orang ramai.
Antara tarikan yang disediakan ialah Tapak Permainan Suka Ria Sinar Bestari X Sinar Plus, Rumah Puaka Nusantara, Mini Zoo, Sukaneka Rakyat, SinarPlus MakanFest, Fiesta Kucing TomKraf Jualan Buku Karangkraf dan Jualan Rahmah Madani.
Karnival Rakyat Karangkraf yang dilancarkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali sempena ulang tahun Sinar Harian yang ke-18 itu merupakan karnival yang mengembalikan nostalgia zaman dahulu menerusi tema tradisional dan kerakyatan melibatkan dua komponen utama iaitu sukan rakyat dan pentas rakyat.
REAKSI
1)"Sangat bagus kerana Hari Kantin X PTPTN ini dapat memupuk semangat usahawan dalam kalangan murid, sekali gus memberi peluang mereka berfikir di luar kotak cara-cara ingin melariskan makanan.”
- Guru Perpustakaan dan Media SMK Putrajaya Presint 9 (2), Nurafidah Mohd Khalid
2)"Hari Kantin X PTPTN memberi peluang kepada kami (guru-guru) berfikir dan bertindak secara kritis dan kreatif serta di luar kotak untuk mewujudkan produk-produk hasil tangan sendiri kepada orang awam. Ia juga memberi pengalaman sangat luas dan bermakna buat anak-anak kami dalam merasai suasana berniaga.”
- Guru SK Bukit Kuda, Khairun Nazirin Shamsudin
3)"Banyak impak positif diperoleh anak murid sepanjang mereka menguruskan program ini yang melibatkan masyarakat dan agensi luar.”
- Guru SMK Bukit Kapar, Rasidah Isman
4)"Dana yang kami peroleh akan digunakan untuk membeli peralatan baharu dan pembangunan Kelab Media TV Pusat Sumber Sekolah.”
- Guru KISAS, Ahmad Mukhlis Ar Rasyid Mohd Rashid
5)"Saya berbangga dengan kerjasama warga sekolah dalam menjayakan Hari Kantin. Dana yang diperoleh bagi menaik taraf keceriaan pusat sumber dan fasiliti sekolah.”
- Guru Perpustakaan dan Media SK Bukit Kuda, Zarina Ngadirin