Parlimen Mahasiswa UniSZA sahut saranan KPT

Iklan
Suasana ketika ahli dewan bersidang di Dewan Senat, UniSZA, baru-baru ini.

Penganjuran Parlimen Mahasiswa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) atau lebih dikenali PMU dilihat sebagai usaha terbaik dalam menyahut saranan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang mahukan setiap penuntut terlibat secara langsung dalam membangkitkan hal-hal semasa di peringkat universiti hingga nasional.

Dikendalikan sepenuhnya oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniSZA, PMU yang kini telah memasuki tahun ketiga penganjurannya banyak memberikan impak dan inisiatif positif kepada mahasiswa yang terlibat.

Iklan
Iklan

Antara impak yang diperoleh mereka adalah berjaya menerapkan konsep pemerkasaan autonomi dalam aspek hak-hak mahasiwa, penambahbaikan infrastruktur, pengurusan program berimpak tinggi dan imej baik kepada landskap perkembangan demokrasi di kampus.

Baru-baru ini, PMU telah diadakan selama tiga hari di mana ahli-ahli dewan merupakan golongan penuntut yang terdiri daripada ahli MPP Sesi 2023/2024, Majlis Kolej Kediaman (MKK), Perwakilan Badan Beruniform UniSZA (PPBU), Perwakilan Persatuan Mahasiswa Fakulti (PMF) dan Perwakilan Bebas.

Iklan

Beberapa ahli dewan telah berkongsi pandangan mereka tentang penganjuran PMU.

1)"PMU adalah program yang mempunyai kesan positif kepada semua penuntut dan warga kampus. Saya melihat mereka (penuntut) semakin bijak dalam memberikan pandangan untuk membawa solusi terbaik demi kemaslahatan bersama. Besar harapan saya agar pihak pengurusan sentiasa memberi dorongan dan sokongan penuh terhadap penganjuran program sebegini demi melahirkan mahasiswa yang mempunyai mutu kualiti untuk membantu pembangunan negara bangsa.”

Iklan

- Pengarah PMU, Hairul Haikal

2)"Pada hemat saya, PMU wadah terbaik untuk golongan mahasiswa menyuarakan isu-isu genting kepada pihak pengurusan melalui resolusi (keputusan rasmi) selepas persidangan. Ahli-ahli dewan kali ini pula, lebih matang dan bijak dalam menilai relevansi usul yang perlu diangkat ke peringkat parlimen. Terdapat juga usul yang saya percaya mampu membawa perubahan besar di kampus ini.”

- Yang Dipertua Dewan PMU Sidang Pertama, Nur Dinie Sharifuddin

Nur Dinie

3)"Praktis demokrasi yang ditunjukkan selaras dengan tujuan utama untuk membentuk mahasiswa celik demokrasi. Situasi ini dapat dilihat daripada semangat ahli dewan berdiri ketika berbahas, memberikan usul, menyokong usul variasi idea berkaitan kebajikan mahasiswa dan isu-isu nasional. Selain itu, setiap perwakilan yang datang daripada pelbagai latar belakang turut mengenepikan perbezaan pendapat dan pandangan, demi mencapai sebuah konsensus (persetujuan bersama) menjaga kebajikan mahasiswa secara menyeluruh.”

- Presiden MPP, Nur Hasya Harun

4)"Persidangan PMU adalah batu loncatan dan permulaan yang mampan dan utuh dalam membincangkan perkara berbangkit dalam kalangan mahasiswa. Pembawaan usul dan perbahasan dilaksanakan secara adil dan berdemokrasi dengan undian daripada seluruh perwakilan agar dapat membawa perubahan dalam komuniti dan kemajuan mahasiswa di UniSZA. Malah, isu-isu yang di bawa juga adalah matang sekali gus menunjukkan kecaknaan mahasiswa itu sendiri."

- Presiden Persatuan Mahasiswa Hubungan Antarabangsa 2024/2025, Adli Ghazali

Adli