Membawa misi menyebar ilmu keusahawanan kepada pelajar, penganjuran Hari Kantin Sinar Bestari X Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berada di landasan yang tepat.
Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, usaha PTPTN dan Sinar Bestari menjadi platform dalam melatih pelajar tentang perniagaan bermula dari bawah.
Menurut beliau, program yang berlangsung selama dua hari bermula 26 Julai lalu, begitu meriah dengan kehadiran pengunjung pelbagai peringkat umur.
Ahmad Dasuki turut memuji aktiviti ini kerana selain memupuk ilmu keusahawanan, pelajar juga didedahkan dengan pelbagai kemahiran lain termasuk sudut memasarkan produk.
"Menerusi aktiviti Hari Kantin Sinar Bestari X PTPTN ini, mereka (pelajar) dapat memahami aspek jualan, pengurusan kewangan, promosi jualan dan meningkatkan kemahiran komunikasi serta kerjasama sesama mereka.
"Selain itu, pelajar dan guru boleh mendapatkan pelbagai maklumat mengenai perkhidmatan yang ditawarkan oleh PTPTN dengan lebih mendalam di reruai yang disediakan,” katanya.
Hari Kantin Sinar Bestari X PTPTN melibatkan sebanyak 10 buah sekolah yang mempromosi dan menjual pelbagai jenis produk makanan serta minuman yang mana hasil keuntungan boleh diguna untuk membaik pulih atau menambah baik fasiliti sekolah masing-masing.
Kali ini, sekolah yang terlibat adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Utama; SMK (Perempuan) Raja Zarina; SMK Seksyen 9; SMK Seksyen 19 dan SMK Bukit Kapar.
Turut menyertai Sekolah Kebangsaan (SK) Puchong Indah; SK Bukit Kuda; SMK Putrajaya Presint 9 (2); Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) dan SMK Selayang Bharu.