Sambutan hari kantin merupakan acara yang sinonim dengan sekolah, di mana ia dapat memupuk nilai kerjasama antara murid, selain membantu meningkatkan kemahiran keusahawanan mereka.
Menerusi acara ini, Sinar Bestari mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan Hari Kantin Sinar Bestari X Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang buat julung kalinya diadakan sempena Karnival Rakyat Karangkraf 2024.
Berlangsung selama dua hari bermula 26 Julai lalu, hari kantin disambut meriah dengan penglibatan 10 buah sekolah memasarkan pelbagai jenis makanan, minuman dan produk kraftangan selain kreativiti masing-masing dalam mempromosikan hasil jualan.
Penganjuran program ini juga dihangatkan lagi dengan kesungguhan semua sekolah terlibat bagi meraih anugerah mengikut tiga kategori pertandingan iaitu Gerai Paling Kreatif/Unik, Gerai Paling Meriah dan Gerai Paling Untung.
Justeru, Sinar Bestari bawakan tiga sekolah bertuah yang telah berjaya meraih anugerah mengikut kategori masing-masing.
Jom kita!
1) Meriah betul gerai SK Bukit Kuda
Jika gerai lain hanya menggunakan suara untuk menarik perhatian pelanggan, lain pula ceritanya dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Kuda, Klang menggunakan rebana ubi sebagai tarikan utama.
Ia sekali gus mengangkat sekolah itu sebagai penerima anugerah Gerai Paling Meriah.
Menurut salah seorang guru pengiring, Zarina Ngadirin, rebana ubi merupakan produk inovasi sekolah yang telah pun memenangi Anugerah Emas 2023 ciptaan unik daripada tong cat.
"Sangat terharu dan tidak menyangka kerana saya dan sekolah hanya mencuba nasib sahaja. Alhamdulillah berjaya pula terima Anugerah Gerai Paling Meriah.
"Tarikan yang kami bawa layanan mesra daripada anak-anak murid serta guru dan paluan rebana ubi mungkin menjadi salah satu penyumbang kejayaan ini,” katanya.
Membawa pulang RM200, hamper dan sijil, Zarina memaklumkan akan menggunakan wang yang diterima untuk menaik taraf pusat sumber sekolah dan beberapa fasiliti lain.
"Insya-ALLAH, jika ada lagi penganjuran program sebegini saya dan warga sekolah berbesar hati untuk menyertai.
"Terima kasih Sinar Bestari dan PTPTN,” tambahnya.
2) Gerai KISAS paling kreatif
Tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira dan terharu apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Gerai Paling Kreatif ketika Hari Kantin Sinar Bestari X PTPTN.
Alumni Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) merangkap pembantu guru, Ahmad Mukhlis Ar Rasyid Mohd Rashid mengucapkan syukur di atas usaha dicurahkan oleh para pelajar dalam menjayakan gerai mereka selama dua hari itu.
Katanya, hiasan dan gubahan gerai banyak menggunakan barangan di persekitaran seperti rumput kering, daun kelapa dan kain batik terpakai bagi mengikut tema Karnival Rakyat Karangkraf iaitu klasik.
"Alhamdulillah, saya sebagai pembantu hanya memantau dan mengurus perkara di luar bidang kuasa pelajar.
"Selebihnya saya beri kepercayaan kepada pelajar untuk menyumbang idea dan merancang bagaimana proses hiasan akan dilaksanakan.
"Apatah lagi sekarang ini, pelajar boleh menjana idea menerusi pelbagai platform dalam talian, sekali gus menjadikan mereka lebih kreatif jika dibandingkan dengan zaman dahulu. Jadi banyak idea yang mereka boleh cadangkan,” katanya kepada Sinar Bestari.
Kongsi Ahmad Mukhlis, terdapat banyak manfaat yang bukan sahaja buat pelajar tetapi juga guru dan sekolah melalui penganjuran Hari Kantin Sinar Bestari X PTPTN ini.
"Pelajar boleh mengasah kemahiran keusahawanan yang tidak diperoleh secara langsung dalam bilik darjah dan mengaplikasikan pengalaman ini dalam kehidupan seharian.
"Guru pula dapat membina jaringan dan kenalan dengan sekolah lain seterusnya menaikkan nama sekolah jika menang,” ujarnya.
Membawa pulang wang tunai RM300, hamper dan sijil penyertaan, Ahmad Mukhlis memberitahu akan menggunakan wang kemenangan bagi pembangunan Kelab Penyiaran dan Media (TV PSS) kolej.
Ujarnya, hadiah yang diterima akan digunakan dalam membeli peralatan membantu pelajar dalam membuat rakaman program di kolej kelak.
3) SK Puchong Indah, gerai paling untung!
Berjaya meraih Anugerah Gerai Paling Untung, Sekolah Kebangsaan (SK) Puchong Indah, Selangor, membawa pulang wang tunai RM200 berserta hamper dan sijil penyertaan.
Guru pengiring, Nor Muna Hamdi Ahmad Mahdi berkata, sepanjang dua hari berlangsungnya hari kantin, gerai sekolahnya tidak putus dengan kehadiran pelanggan yang bukan sahaja terdiri daripada pelajar sekolah tetapi juga pengunjung Karnival Rakyat Karangkraf.
"Kami menjual air balang, nasi lemak, pasta, dadih, buko dan pelbagai makanan lain yang menarik minat pelajar sekolah dan orang ramai.
"Dengan harga yang murah dan berpatutan menjadikan gerai kami sentiasa dikunjungi, malah ada sesetengah pelanggan yang datang membeli lebih daripada sekali,” katanya.
Ditanya mengenai pendapatnya mengenai penganjuran hari kantin ini, Nor Muna mengatakan ia satu program yang bagus kerana pelajar dan guru diberi peluang untuk berniaga, sekali gus dapat mengumpul dana untuk sekolah.
Akui guru itu, wakil sekolah akan menyertainya lagi jika terdapat penganjuran program ini pada tahun-tahun akan datang.
"Pihak sekolah pasti akan sertai lagi. Kami juga akan tambah baik produk jualan makanan mungkin mengikut jenis yang diminati para pengunjung.
"Untuk hadiah wang tunai yang diterima pula akan digunakan sebaiknya dalam menambah baik fasiliti sekolah dan kemudahan pelajar,” katanya.