Institusi pendidikan di Sarawak perlu seiring dengan pelbagai bidang teknologi yang sedang diterokai oleh negeri itu.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat negeri, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, bidang itu termasuk hidrogen, tenaga suria dan terkini industri aeroangkasa.
"Oleh itu, pembangunan dari aspek profesional secara berterusan dalam kalangan guru dan pensyarah di institusi pendidikan di negeri ini adalah penting.
"Pendekatan ini akan membolehkan sekolah dan universiti mempunyai pakar selain mampu untuk menawarkan lebih luas pilihan bidang masa hadapan yang membolehkan pelajar meneroka dan membangunkan kemahiran khusus," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Teknologi Maju Mampan (ASTECH) Sarawak 2024 di Sarawak pada Selasa.
Sementara itu, Roland Sagah berkata, meskipun Sarawak amat menekankan usaha memumpuk bakat muda masa depan, adalah penting untuk memastikan modal insan turut diiktiraf dan diberi penghargaan secara profesional.
"Kami menggesa para profesional yang ada sekarang agar mendaftar sebagai juruteknik atau ahli teknologi profesional. Kami menyasarkan sehingga 10,000 profesional berdaftar menjelang tahun 2025.
"Setakat Jun lepas, Sarawak telah mempunyai seramai 6,555 profesional berdaftar di bawah Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT)," katanya. - Bernama