Masyarakat Orang Asli disaran sertai TVET - Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah

Iklan
Rubiah (berdiri, tengah) bergambar bersama masyarakat Orang Asli pada Program Mesra Rakyat bersama Masyarakat Orang Asli di Pos Pulat, Gua Musang, Kelantan.

Generasi muda Orang Asli diseru menyertai program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi mengasah dan meningkatkan kemahiran mereka yang seterusnya berupaya membuka laluan kerjaya lebih luas untuk mereka.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, ia juga bagi memastikan anak-anak Orang Asli 'duduk sama rendah, berdiri sama tinggi' dengan masyarakat kaum lain, terutama dalam bidang pendidikan dan ekonomi.

Iklan
Iklan

"Peranan TVET bukan sahaja bertujuan mengasah dan meningkatkan kemahiran dimiliki, sebaliknya untuk menaikkan taraf pendapatan dan membantu ekonomi mereka agar berjaya keluar daripada garis kemiskinan.

"TVET ini bukan untuk pelajar sahaja tetapi untuk semua belia yang tidak ada pekerjaan supaya diberi pendedahan menerusi pelbagai kemahiran seperti dandanan, gunting rambut, tatarias dan masakan," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama lebih 350 masyarakat Orang Asli Pos Pulat, Gua Musang di Kelantan pada Selasa.

Iklan

Program di Pos Pulat yang perlu menempuh jalan balak kira-kira 30 kilometer dan memakan masa hampir sejam setengah dari bandar Gua Musang itu turut dihadiri Timbalan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan dan Terengganu Roslina Bun.

Mengulas lanjut, Rubiah berkata, JAKOA akan sentiasa memainkan peranan dan memberi kerjasama kepada masyarakat Orang Asli sekiranya mereka memerlukan bantuan dalam bidang pendidikan.

Iklan

"Anak-anak Orang Asli yang kurang berjaya dalam pendidikan boleh segera berjumpa dengan pihak JAKOA untuk minta idea bagi hala tuju mereka.

"Jangan biarkan anak-anak ini berada di kampung tanpa buat apa-apa, sebaliknya bawa mereka sertai program-program kemahiran yang disediakan kerajaan untuk meningkatkan ekonomi," katanya.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilapor berkata kadar lepasan TVET yang mendapat pekerjaan merekodkan jumlah yang tinggi mencecah 94.5 peratus.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata peningkatan itu menunjukkan persepsi dan tanggapan masyarakat menganggap TVET untuk individu tercicir dalam akademik tidak benar, sebaliknya ia mampu menjadi laluan kerjaya pilihan utama kepada para belia.

Pada 30 Mei lepas, Ahmad Zahid dilaporkan berkata 220 syarikat China menawarkan 5,125 kuota kepada pelajar Malaysia untuk menjalani latihan berkaitan TVET bagi jangka pendek, sederhana dan panjang sekali gus menjadi pengubah keadaan dalam melonjakkan industri TVET di Malaysia. - Bernama