"Sangat terkejut dan tidak menyangka mereka berjaya membawa pulang beberapa anugerah dalam International Innovation & Invention Competition (IIICe) 2024.
"Terima kasih kerana membanggakan seluruh warga Institut Kemahiran Mara (IKM) Johor Bahru, Johor.
"Besar harapan saya agar mereka dan warga institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang lain dapat menghasilkan lebih banyak produk inovasi selari dengan kehendak industri dan keperluan pengguna serta dapat membawanya untuk direalisasikan sebagai produk komersial dan dipasarkan ke peringkat antarabangsa."
Itu kata Penyelaras Jawatankuasa Inovasi & Rekacipta, IKM Johor Bahru, Jalil Lias, 45, kepada wartawan Sinar Bestari.
Kenyataan tersebut dikongsi susulan kemenangan IKM Johor Bahru pada IIICe 2024 di mana pihak institut menghantar tiga projek iaitu Motorcycle Recorder with App System (MORAS), Multipurpose Steam Drum Cookers dan Auto Rehab Cycle untuk dipertandingkan.
Menurut Jalil, kesemua projek dikendalikan tiga pasukan hebat dari IKM Johor Bahru.
"MORAS yang meraih anugerah emas dan anugerah terbaik dari terbaik (kategori automotif dan pengangkutan) dihasilkan Tc Muhammad Yusuf Rambeli dan Mohd Alif Husain selaku pensyarah serta empat pelajar iaitu Amierul Dayniel Amrulizam, Amier Syaiffuddin Khairol Effendy, Nurlia Syameera Syamsol dan Syahmi Salomon.
"Multipurpose Steam Drum Cookers yang mendapat anugerah perak dibangunkan dua pensyarah, Mohd Shahir Hot dan Mohd Fairus Muhamad Ali serta pelajar, Muhammad Eddy Syazwan Samsura, Muhammad Haiqal Mohd Nassir, Muhamad Zamani Munsai @ Musa, Akmal Hakim Maswari dan Adam Iqhram Zainuhisham.
"Manakala Auto Rehab Cycle yang turut merangkul anugerah perak dibangunkan pensyarah yang terdiri daripada saya dan Nor Hasmah Yahaya. Kami dibantu lima pelajar iaitu Rhafhathir Ismail, Hazeq Erfan Hisham, Amir Daniel Thin Tarmizi Thin, Muhammad Bakhtiar Mazlan, Muhammad Nabil Shahruddin,” ujarnya.
Berbicara mengenai cabaran penyertaan IIICe 2024 yang berlangsung di Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Jalil berkata, beberapa dugaan perlu mereka lalui sebelum capai kemenangan.
"Kami berhadapan kesukaran pengangkutan, re-set, rubrik pemarkahan dan poster.
"Bagaimanapun, semuanya berjalan dengan lancar dan akhirnya kami berjaya merangkul satu anugerah emas, dua perak dan anugerah terbaik dari terbaik (kategori automotif dan pengangkutan)," ujarnya.