Inovasi Flipcard bantu calon STPM kuasai subjek Pengajian Am

Iklan
Cikgu Ridzuan (tengah) sedang menunjukkan cara menggunakan permainan Flipcard kepada pelajar-pelajarnya.

Dalam era pendidikan yang semakin mencabar, guru-guru di Malaysia terus mencari pendekatan baharu untuk memastikan pelajar mereka menguasai kandungan pembelajaran dengan lebih berkesan.

Salah satu pendekatan baharu yang digunakan adalah inovasi permainan Flipcard yang dibangunkan guru Tingkatan Enam, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ismail Petra, Kota Bharu, Kelantan, Cikgu Mohd Ridzuan Md Nasir.

Iklan
Iklan

Beliau yang mengajar subjek Pengajian Am dan sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) tajaan biasiswa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menghasilkan inovasi itu khusus untuk membantu pelajar Tingkatan Enam Semester 1 (yang bakal menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia) menguasai topik Tadbir Urus Negara dalam mata pelajaran Pengajian Am.

Ketika ditemu bual wartawan Sinar Bestari, Cikgu Ridzuan berkata, Flipcard adalah pendekatan baharu melalui pembelajaran berasaskan permainan.

Iklan

"Ia dihasilkan setelah mendapati kaedah pengajaran konvensional seperti 'chalk and talk' untuk sesetengah topik dalam mata pelajaran Pengajian Am tidak mencapai objektif pembelajaran yang diharapkan.

"Pelajar sering kali gagal menguasai topik Tadbir Urus Negara kerana kaedah ini tidak berjaya mengekalkan fokus dan minat mereka.

Iklan

"Dengan subtopik yang terlalu banyak, pelajar sukar mengingati fakta yang dibaca,” ujarnya.

Sebagai langkah intervensi, Cikgu Ridzuan yang berusia 39 tahun, memperkenalkan permainan Flipcard, direka khusus untuk mencipta suasana pembelajaran yang lebih menyeronokkan dan interaktif.

Permainan ini menekankan pendekatan ‘belajar sambil bermain’ yang dapat membantu memaksimumkan penguasaan ilmu dan memupuk kemahiran positif dalam kalangan pelajarnya.

Reka bentuk dan cara permainan

Mengambil inspirasi daripada permainan Monopoly, permainan Flipcard ini dibahagikan kepada tiga komponen utama iaitu kotak simpanan, papan permainan dan kad imbas.

Kotak simpanan direka dengan tulisan"PERMAINAN FLIPCARD TOPIK TADBIR URUS NEGARA PENGAJIAN AM SEMESTER 1" dan dihiasi dengan logo Jata Negara.

Manakala papan permainan mengandungi 30 nama dan gelaran bagi struktur kerajaan persekutuan, agensi pelaksana, unit, majlis dan suruhanjaya yang disusun secara rawak.

Kad imbas pula terdiri daripada peranan dan fungsi jabatan-jabatan kerajaan tersebut yang berjumlah 30 keping kesemuanya.

Cara permainan adalah mudah tetapi memerlukan kerjasama dan pemahaman mendalam tentang topik yang dipelajari.

Pelajar dibahagikan kepada kumpulan dan perlu meneka nama agensi yang tepat berdasarkan peranan yang dicetak di kad imbas.

"Permainan ini bukan sahaja menguji daya ingatan pelajar, tetapi juga mencetuskan minat dan keterujaan mereka terhadap subjek Pengajian Am," jelas Cikgu Ridzuan yang juga berpengalaman mengajar subjek Bahasa Melayu.

Papan permainan Flipcard.

Keberkesanan dan impak

Menurut beliau, kajian tindakan yang dijalankan terhadap inovasi itu telah menunjukkan hasil yang memberangsangkan.

Ini kerana, sebelum diperkenalkan Flipcard kepada pelajar, majoriti pelajar memperoleh markah yang sangat rendah dalam ujian pra.

Ujarnya, selepas menggunakan permainan berkenaan, terdapat peningkatan yang ketara dalam prestasi mereka.

"Keputusan ujian pasca menunjukkan beberapa pelajar memperoleh markah cemerlang dan ini adalah satu pencapaian yang sangat menggembirakan saya sebagai seorang guru.

"Malah, pelajar lebih seronok dan kurang tertekan dengan inovasi dibangunkan kerana memudahkan mereka mengingat fakta dengan lebih berkesan dan cepat,” tuturnya.

Dengan keberkesanan yang terbukti melalui kajian dijalankan, Cikgu Ridzuan merancang untuk terus mengembangkan inovasi itu melalui perkongsian akademik bersama rakan-rakan guru Pengajian Am lain di seluruh negara.

Beliau yakin bahawa pendekatan pembelajaran seperti ini bukan sahaja akan membantu pelajar menguasai subjek, tetapi juga memupuk kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) yang penting dalam pendidikan abad ke-21.

"Inovasi Flipcard ini bukan sekadar satu permainan; ia adalah alat pembelajaran yang berpotensi besar dalam membantu pelajar mencapai kecemerlangan.

"Besar harapan saya agar Flipcard menjadi inspirasi kepada golongan pendidik untuk terus mencari dan mengaplikasikan pendekatan baharu dalam pengajaran mereka,” akhirinya.

BIODATA

Nama: Mohd Ridzuan Md Nasir

Umur: 39 tahun

Subjek diajar: Bahasa Melayu dan Pengajian Am

Sekolah: Sekarang dalam tempoh cuti belajar. Sedang menyambung pengajian di peringkat PhD dalam bidang Applied Linguistics di UNIMAS (2022 – 2026).

Cikgu Ridzuan

Pencapaian

1) Seorang guru yang bergiat aktif dan berpengalaman dalam bidang kajian tindakan dan inovasi sejak dari tahun 2012.

2) Sering menerima jemputan dan berkongsi ilmu berkaitan dengan kajian tindakan dan inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran melalui ceramah dan bengkel di sekolah seluruh Malaysia.

3) Hasil-hasil penulisan kajian tindakan dan inovasi beliau sentiasa mendapat pelbagai pengiktirafan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

4) Merupakan salah seorang Edufluencers 1.0 KPM

5) Kajian tindakan dan inovasi ‘Permainan Flipcard Topik Tadbir Urus Negara Pengajian Am Semeter 1’ pernah terpilih mewakili Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan untuk dibentangkan dalam Kolokium Pendidikan Tingkatan Enam Peringkat Kebangsaan Kali Ke-5 pada 2022 sekali gus mendapat anugerah Pembentangan Terbaik.

6) Inovasi ini juga telah didaftarkan hak cipta di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).