Pengetua bersara dirai geng motosikal berkuasa besar

Iklan
Geng motosikal jenama Harley Davidson menyambut persaraan Ahmad Ezzat dengan gemilangnya.

Sudah lebih 30 tahun Ahmad Ezzat Ismail berkhidmat sebagai pendidik, gigih menyokong generasi demi generasi yang dahagakan ilmu pengetahuan.

Kini tiba masanya pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Damansara Jaya itu melepaskan jawatannya, menamatkan kerjaya pendidikan beliau.

Iklan
Iklan

Ahmad Ezzat pernah bertugas di enam buah sekolah sepanjang perkhidmatannya selama 34 tahun itu.

Bermula tugasnya di SMK Pitas, Sabah iaitu sebuah sekolah yang terletak di kawasan pedalaman dan berakhir di SMK Damansara Jaya iaitu sebuah sekolah serba lengkap dengan kemudahan serta terletak di kawasan bandar.

Iklan

Ahmad Ezzat yang kini berusia 60 tahun bakal berehat panjang dan dapat melakukan aktiviti kegemarannya yang banyak ditangguhkan ekoran komited pada tanggungjawab terhadap sekolah.

"Saya suka melancong. Apabila bersara, saya tidak boleh terus berehat sahaja. Pesara tetap perlu aktif demi menyeimbangkan kehidupan. Jadi saya rasa ingin melancong melihat tempat yang belum pernah saya pergi dan banyakkan membaca,” ujar beliau.

Iklan

Sokongan geng motosikal

Pada 8 Ogos lalu, majlis meraikan persaraan Ahmad Ezzat diserikan dengan kehadiran 30 motosikal berkuasa tinggi jenama Harley Davidson.

Lebih istimewa apabila Ahmad Ezzat dibawa membonceng motosikal itu mengelilingi sekitar kawasan Damansara secara konvoi.

Ahmad Ezzat membonceng motosikal berkuasa besar, menikmati pengalaman baharu beliau.

"Memang berbeza sungguh pengalamannya apabila menikmati suasana persekitaran dengan membonceng motosikal berbanding melihatnya dari dalam kereta seperti yang biasa dilakukan,” ujar Ahmad Ezzat yang teruja dengan pengalaman baharunya.

Majlis ini dirancang oleh Datuk Zaidi Hashim merangkap sahabat kepada Ahmad Ezzat sendiri dengan kerjasama seluruh guru SMK Damansara Jaya.

Menurut Zaidi, sahabatnya itu memang meminati motosikal berkuasa besar, jadi apabila telah bersara inilah masanya untuk menyertai kelab motosikal tersebut dan menikmati aktiviti melancong dengan menunggang motosikal.

"Saya anjurkan majlis persaraan sahabat saya sebagai pengetua sekolah bukan sekadar suka-suka, namun kami ingin memberi inspirasi kepada pelajar sekolah ini untuk berjaya dalam hidup dan boleh mempunyai hobi yang luar biasa,” ujar Zaidi yang seronok melihat pelajar teruja melihat motosikal berkuasa besar.

Pelajar teruja menyaksikan motosikal berkuasa besar beraksi di sekolah mereka.

Dalam majlis ini, Ahmad Ezzat diraikan dengan persembahan daripada pelajar, guru dan geng motosikal seperti nyanyian, tarian dan deklamasi sajak.

Paling menyentuh perasaan adalah apabila sebuah video yang dibuat khas untuk Ahmad Ezzat yang menceritakan momen dari tahun 1990-an hingga saat persaraan beliau.

Ucapan daripada guru dan pelajar termasuk kakitangan sekolah iaitu kerani dan pengawal keselamatan amat memberi kesan kepada emosi sepanjang majlis persaraan ini.

Rata-rata seluruh warga SMK Damansara Jaya amat menyayangi Ahmad Ezzat sesuai dengan tema majlis iaitu Sedetik Bersama, Di Jiwa Selamanya.

"Saya amat berterima kasih kepada seluruh tenaga kerja di SMK Damansara Jaya. Saya masuk ke sini pada tahun 2020 iaitu ketika seluruh dunia dilanda wabak Covid-19.

"Saya terharu dengan dedikasi semua guru dan pelajar yang tetap mementingkan ilmu walaupun kita perlu mengajar dari rumah secara dalam talian.

"Kehadiran pelajar ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mencapai 98 peratus dan ini satu pencapaian yang luar biasa,” ujar Ahmad Ezzat yang berkhidmat selama empat tahun di sekolah ini.

Detik berharga Ahmad Ezzat dan warga SMK Damansara Jaya.

SMK Pitas, satu kenangan

Teringat pengalaman lama, Ahmad Ezzat mempunyai kisah tersendiri ketika mula-mula menjadi guru.

Namanya ditempatkan di SMK Pitas, Sabah iaitu sebuah sekolah luar bandar yang masih banyak kekurangan dari segi kemudahan.

"Pelajar saya datang ke sekolah dengan cara yang amat bersusah payah. Kehadiran ke sekolah memang amat teruk kerana mereka hadir ke sekolah secara bermusim.

"Jika musim menuai, mereka tidak hadir ke sekolah kerana membantu keluarga bertani. Selepas habis musim menuai, mereka hadir ke sekolah dengan keadaan tapak tangan kasar, pecah-pecah kerana kesan kerja-kerja kasar pertanian tadi,” ujar beliau.

Perkara tersebut mendorong beliau untuk menyediakan asrama untuk pelajar agar mereka lebih fokus dalam pembelajaran.

"Saya terharu apabila ada ibu bapa sangat berterima kasih apabila makan minum anaknya terjaga dengan baik di asrama,” ujar Ahmad Ezzat yang turut berjaya mendapatkan peruntukkan tiga biji komputer untuk kegunaan sekolah dan surau bagi memudahkan urusan solat termasuk solat Jumaat.

Pengalaman mengajar di sekolah pedalaman dan bandar membuatkan Ahmad Ezzat faham dengan isu-isu berbangkit setiap sekolah.

Baginya, kita tidak boleh menilai kebolehan pelajar dalam pendidikan secara sama rata.

Kemampuan pelajar menjawab soalan adalah mengikut kepada perjalanan kehidupan mereka sehari-hari.

"Sekadar contoh, jika soalan karangan meminta pelajar menghuraikan mengenai keselamatan lalu lintas, pelajar di Sabah tidak akan mampu menjawab soalan dengan baik. Mereka bukan sahaja tiada jalan raya, malah mungkin seumur hidup tidak pernah melihat jejantas dan lampu isyarat.

"Justeru, apa penilaian yang pihak pendidik perlu buat?” kata Ahmad Ezzat.

Mengakhiri bicara, Ahmad Ezzat menyarankan supaya guru-guru muda yang baru memulakan khidmat dalam bidang perguruan supaya lebih integriti dalam menjalankan tugas, sekali gus juga perlu ikhlas mendidik anak bangsa.

"Saya faham zaman sekarang zaman media sosial. Walaupun begitu, itu bukanlah perkara yang menghalalkan untuk guru membuat kandungan yang sekadar kandungan.

"Saya tiada masalah jika guru membuat kandungan ilmiah yang mencerminkan kemurnian kerjaya sebagai pendidik. Hal itu amat bagus,” ujarnya mengakhiri bicara.