Sekolah Henry Gurney bukan noktah tetapi peluang kedua pesalah juvana

Iklan
Nora ketika ditemui pemberita selepas Majlis Apresiasi Pelajar 2023/2024 di Dewan Merak Kayangan Kompleks Penjara Kota Kinabalu.

Walaupun pernah melakukan kesalahan dan dihukum dengan ditempatkan di Sekolah Henry Gurney tetapi itu bukan pengakhiran bagi pesalah juvana mendapat peluang kedua di sekolah tersebut.

Bagi Pengarah Penjara Negeri Sabah dan Labuan, Nora Musa, setiap pesalah juvana layak mendapat peluang termasuk peluang pendidikan supaya mereka tidak tercicir.

Iklan
Iklan

Malah menurutnya, Jabatan Penjara juga mahu memastikan pesalah juvana keluarkan minda mereka bahawa berada di dalam penjara.

"Memang itulah hasratnya, mereka berpakaian uniform sekolah sebab kita ingin keluarkan minda mereka berada di dalam penjara sewaktu di dalam penjara ini.

Iklan

"Banyak hasrat kita sebenarnya terutama sekurang-kurangnya mereka mempunyai 3M (membaca, mengira dan menulis) untuk mereka belajar huruf, asas kira-kira dan menulis sebab 3M itu memberi mereka pengetahuan supaya tidak mudah tertipu.

"Dalam penjara ini mereka dapat meneruskan pendidikan mereka yang tertinggal atau tercicir. Jadi Sekolah Henry Gurney bukan noktah tetapi peluang kedua untuk anak-anak ini," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas Majlis Apresiasi Pelajar 2023/2024 di Dewan Merak Kayangan Kompleks Penjara Kota Kinabalu, di sini baru-baru ini.

Katanya lagi, pada tahun lalu seramai 13 pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun lalu.

"Tahun ini pun kita ada pelajar yang akan menduduki SPM dan kesemua mereka akan ikut sepenuhnya program yang disediakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) termasuk dari segi silibus dan jadual.

"Guru-guru yang mengajar pun dari KPM sendiri dan dari segi silibus memang semua tertakluk apa yang digariskan.

"Cuma kita akui ada sedikit kekurangan dari segi fasiliti amali seperti untuk subjek sains tidak ada makmal," katanya.

Tambah Nora lagi, bagi memastikan mereka mempunyai peluang apabila keluar nanti kesemua pelajar di bawah Sekolah Henry Gurney tidak direkodkan jenayah yang dilakukan selama ini.

"Sepatutnya tidak ada dalam rekod peribadi, semua pelajar di Sekolah Henry Gurney ini tidak ada rekod jenayah. Selepas pelajar ini keluar, mereka sudah tidak ada hubungan dengan Jabatan Penjara.

"Jadi di sini, kita akan memastikan mereka boleh melanjutkan pengajian ke mana-mana, sebab itu kita mengalakkan mereka yang berada di dalam ini meneroka pelbagai bidang termasuk kemahiran dan akademik.

"Jika banyak pihak memberi sokongan dan peluang, mereka akan boleh pergi jauh. Sekarang ini di Sabah saya nampak tenaga buruh mahir menjadi keutamaan juga dan kita boleh bawa mereka ke arah itu.

"Sekiranya mereka mendapat keputusan cemerlang dan melanjutkan pengajian dan kita boleh keluarkan lebih awal dari penjara untuk mereka sambung belajar," katanya.

Bagaimanapun, sokongan daripada pelbagai pihak juga amat diperlukan terutama daripada ibu bapa pelajar itu sendiri.

"Kita berharap ibu bapa dapat memberikan sokongan dalam laluan kerjaya anak-anak mereka di dalam ini," katanya.