1A sudah cukup buat ibu bapa menangis - Bekas pelajar Henry Gurney

Iklan
Keputusan SPM Della membuatkan kedua ibu bapanya menangis.

Biarpun hanya mendapat 1A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi itu sudah cukup membuatkan kedua ibu bapa Della, 19, menangis selepas melihat keputusan tersebut.

Bagi Della yang juga bekas pelajar Sekolah Henry Gurney di sini, dia mahu membuktikan bahawa kesilapannya sebelum ini dapat ditebus semula dengan mengambil keputusan dan meneruskan pengajian di peringkat yang lebih baik selepas ini.

Iklan
Iklan

Della dimasukkan ke sekolah tersebut selepas ditahan akibat kesalahan melibatkan najis dadah pada tahun 2021 di salah sebuah daerah di negeri ini.

"Saya terjebak dengan dadah kerana pengaruh dari rakan sekolah. Pada mulanya saya memang bersekolah tetapi disebabkan saya nakal dan tertangkap lalu dimasukkan ke sekolah ini.

Iklan

"Keluarga saya menangis apabila saya dimasukkan ke Henry Gurney dan mereka cuba keluarkan saya dari sekolah itu tetapi tidak berjaya.

"Tapi ada hikmah saya berada di sini, akhirnya saya terima hakikat bahawa kalau saya di luar, saya pasti akan terus nakal dan di sini saya banyak berubah termasuk dapat meneruskan pengajian selepas mengambil SPM," katanya.

Iklan

Della berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi Pelajar 2023/2024 di Dewan Merak Kayangan Kompleks Penjara Kota Kinabalu, di sini baru-baru ini.

Menurut anak kedua daripada tiga beradik itu, dia kini tekad untuk tidak terjebak dengan aktiviti tidak bermoral.

"Kalau pilih kawan di luar, pastikan kita pilih rakan yang baik. Jangan lihat mereka di luaran saja sebaliknya lihat secara dalaman.

"Dapatkan nasihat daripada ibu bapa kita kerana mereka pasti dapat menilai rakan-rakan kita kerana kalau kita berkawan dengan orang yang salah, kita sendiri akan terpengaruh," katanya.

Della berkata, dia kini dalam fasa memperbaiki dirinya dan akan memulakan kehidupan yang baru dengan melanjutkan pengajian di peringkat diploma dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak di salah sebuah kolej tempatan pada bulan hadapan.

"Sebenarnya, keluarga sukar melepaskan saya tetapi saya cuba buktikan kepada mereka dan ada ahli keluarga yang turut memantau saya.

"Di kolej nanti saya tinggal di asrama dan pengangkutan juga disediakan. Jadi saya harap dapat mengelak daripada perkara tidak bermoral.

"Disebabkan saya juga suka kanak-kanak, saya yakin boleh menunjukkan contoh yang terbaik kepada anak-anak jagaan saya suatu hari nanti," katanya.