KPM serlahkan bakat murid Orang Asli dan Peribumi

Iklan
Timbalan Menteri Pendidikan di Majlis Perasmian Pembukaan Karnival Pendidikan Murid Orang Asli dan Peribumi Kebangsaan 2024.

Kemenjadian murid Orang Asli dan Peribumi (OAP) sudah menjadi fokus Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) selama berdekad lamanya, diperkembangkan melalui pemberian akses pendidikan yang seiring dengan pendidikan arus perdana.

Pelbagai program khas telah dianjurkan di kawasan pedalaman khususnya untuk mengurangkan keciciran pendidikan dalam kalangan kanak-kanak OAP.

Iklan
Iklan

Bagi menyusuli usaha ini, KPM melalui Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak menganjurkan Karnival Pendidikan Murid Orang Asli dan Peribumi Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 pada 20 hingga 22 Ogos.

Karnival yang bertempat di Dewan Bahasa dan Pustaka itu berfungsi sebagai platform untuk memberi peluang kepada murid OAP mengambil bahagian dan bersaing secara sihat dalam pertandingan di peringkat negeri dan kebangsaan.

Iklan

Sehubungan itu, seramai 185 murid dan 100 guru pengiring dan pembimbing, 18 pempamer, 34 orang hakim serta 106 ahli sekretariat terlibat dalam menjayakan karnival tersebut.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh yang turut hadir memuji perkembangan kemenjadian murid Orang Asli yang dipersembahkan di majlis perasmian pembukaan karnival tersebut.

Iklan

"Kita berharap pada tahun akan datang, kita boleh menarik lebih ramai lagi anak-anak murid datang ke karnival sebegini untuk menonjolkan bakat dan kelebihan mereka,” ujar beliau.

Di samping itu, terdapat 11 acara yang dipertandingkan kali ini antaranya Pertandingan Kajian Tindakan Guru, Pertandingan Nyanyian Solo, Pertandingan Nyanyian Duet, Pertandingan Puisi, Pertandingan Bercerita Bahasa Melayu, dan Pertandingan Bercerita Bahasa Inggeris.

Acara lain yang yang turut disediakan adalah Pertandingan Pembacaan Berita Bahasa Melayu, Pertandingan Pembacaan Berita Bahasa Inggeris, Pertandingan Young Innovators Challenge, Pertandingan Robotik, dan Pertandingan Tarian Tradisional.