Pasukan IKM Jasin johan ACE 2024

Iklan
Kejayaan pasukan pelajar IKM Jasin, dari kiri, Mohamad Afiq, Mohammad Noor Hakimi dan Muhammad Ilyas membuatkan seluruh warga institut kagum dengan mereka.

Tiga pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM) Jasin, Melaka, dinobatkan sebagai johan dalam IPMA Advance Creative Entrepreneurship Challenge 2024 (ACE 2024) di Kolej Profesional Mara Ayer Molek, Melaka, baru-baru ini.

Pasukan yang terdiri daripada pelajar Diploma Kompetensi Elektrik (Penjaga Jentera Elektrik - A1 Semester 4) iaitu Mohammad Noor Hakimi Agus Salim, Mohamad Afiq Abdullah dan Muhammad Ilyas Sahab membawa pulang trofi beserta wang tunai sebanyak RM250.

Iklan
Iklan

Kejayaan mereka adalah hasil usaha keras yang dilakukan dan bimbingan tiga pensyarah Unit Keusahawanan, Jabatan Pengajian Am, IKM Jasin iaitu Suraya Abd Rahim, Haslinda Md Hanapiah dan Mohd Afis Ayem.

Selain itu, sokongan dan dorongan yang tidak berbelah bahagi daripada Pengarah IKM Jasin, Aniyah Abdullah, turut menjadi faktor kemenangan kumpulan pelajar berkenaan.

Iklan

Menurut Aniyah, ACE 2024 bukan sahaja meningkatkan kemahiran keusahawanan pelajar tetapi juga memberi inspirasi kepada anak-anak didik lain untuk menceburi bidang tersebut.

"Kemenangan ini menjadi pemangkin kepada usaha mencapai matlamat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Majlis Amanah Mara (Mara) untuk melahirkan usahawan teknikal yang berdaya saing di peringkat global.

Iklan

"Dengan bimbingan yang tepat dan dedikasi tinggi, para pelajar mampu mencapai kejayaan luar biasa sekali gus memacu mereka menjadi usahawan berdaya saing di masa hadapan,” ujarnya.

Sementara itu, wakil pensyarah Unit Keusahawanan, Suraya berkata, kejayaan pelajar mereka membawa kegembiraan dan kepuasan kepada seluruh warga institut.

"Kami (IKM Jasin) merancang untuk memperkukuhkan program keusahawanan melalui pengembangan bengkel dan latihan praktikal; menjalin kerjasama strategik dengan industri tempatan dan antarabangsa; meningkatkan penyertaan dalam pertandingan peringkat nasional dan global serta menggalakkan inovasi produk melalui penyelidikan dan pembangunan.

"Selain itu, institusi juga akan membangunkan inkubator perniagaan dan platform pemasaran digital, menerapkan teknologi digital dalam pendidikan keusahawanan serta membina jaringan alumni yang aktif sebagai mentor dan sumber kerjasama.

"Langkah-langkah ini bertujuan memastikan pelajar IKM Jasin terus berkembang sebagai usahawan berdaya saing di peringkat global,” ujarnya.

Terdahulu, ACE 2024 yang dianjurkan Bahagian Pendidikan Tinggi (BPT) bersama Kolej Profesional Mara Ayer Molek (sebagai tuan rumah) menjadi medan pelajar Institusi Pendidikan MARA (IPMA) mempamerkan kreativiti dan melontarkan idea keusahawanan lebih segar.

Program yang berteraskan bidang keusahawanan ini berlangsung selama empat hari melibatkan penyertaan sebanyak 11 buah IPMA yang terdiri daripada enam Kolej Profesional Mara, empat Kolej Mara dan IKM Jasin sebagai kontinjen jemputan.

Uniknya, ACE 2024 kali ini turut melibatkan kolaborasi bersama Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU) dan Pusat Usahawan MARA (PUSMA) Negeri Melaka.

Sebanyak lima kategori acara dipertandingkan iaitu AYMO Start-Up Pitch Competition, MyMARA Product Review Channel, Biz Talk, Visit Melaka 2024 Challenge dan MARA'S Next Top Entrepreneur.

Turut berlangsung adalah sesi perkongsian bersama ikon usahawan termasuk seminar Penguasaan Digital Platform.