Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) berupaya memperkukuh pembelajaran melalui sistem kecerdasan buatan (AI) yang membolehkan pensyarah melakukan ramalan terhadap keputusan pelajar-pelajar pada masa depan.
Timbalan Pengarah Bahagian Instruksional dan Pembelajaran Digital, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Dr Mohd Najib Hamdan berkata, sistem yang dikenali sebagai CIDOS (Curriculum Information Document Online System) adalah pendekatan digital dalam menganalisis data sedia ada untuk membuat ramalan mengenai keputusan pelajar.
"Dalam CIDOS, ada pembelajaran mesin yang membolehkan ramalan dilakukan, contohnya seperti markah kuiz, kita dapat mengenal pasti pelajar yang mungkin memerlukan lebih banyak latihan dan bimbingan, berbanding dengan mereka yang sudah menunjukkan kefahaman lebih tinggi.
"Dengan cara ini, intervensi lebih berkesan dapat diberikan kepada pelajar yang memerlukan, bagi membantu mereka meningkatkan prestasi," katanya ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia (AKM) di Bernama TV pada Khamis.
Mohd Najib berkata, CIDOS sekali gus membolehkan POLYCC memanfaatkan data untuk meningkatkan kualiti pembelajaran dan memberikan pengalaman pendidikan yang lebih tertumpu dan responsif kepada pelajar.
Sementara itu, Pengarah Politeknik Banting Selangor, Ibrahim Burhan berkata, AI bukan sekadar teori tetapi juga praktikal dan boleh dilaksanakan dalam latihan yang sesuai dengan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).
"Dengan menggunakan teknologi AI, kita dapat meningkatkan tahap kefahaman pelajar dan memupuk penggunaan pendigitalan lebih berkesan dalam kalangan pensyarah dan pelajar, seiring dengan peredaran zaman," kata Ibrahim.
Mengulas mengenai peranan tenaga pengajar, beliau berkata, pensyarah tetap memerlukan pendekatan seimbang dengan melibatkan diri dalam kursus AI.
"Tenaga pengajar perlu menerapkan AI dengan menggunakan teknologi seperti AR (realiti terimbuh), VR (realiti maya) 360 dan seumpamanya untuk memberikan pemahaman yang lebih mendalam kepada pelajar," katanya.
Beliau juga berkata, tenaga pengajar perlu membimbing pelajar agar tidak terdedah kepada perubahan secara drastik sekali gus memastikan penggunaan teknologi AI dipraktikkan dalam keadaan yang terkawal serta selari dengan etika penggunaannya oleh pelajar. - Bernama