Kes pemandu bas sekolah: KPM sedia bantuan kaunseling kepada murid terlibat

Iklan
Kah Woh

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menyediakan bantuan kaunseling kepada kanak-kanak yang terbabit dalam kes pemandu bas yang merakam video mereka dan memuat naik dalam aplikasi media sosial.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, sekiranya ada keperluan, bantuan kaunseling itu akan disediakan melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Iklan
Iklan

"Berkenaan isu pemandu bas sekolah ini, pihak polis telah pun mengambil tindakan terhadap pemandu bas tersebut dan memulakan siasatan.

"Sekiranya mempunyai keperluan pihak KPM melalui JPN dan PPD akan memberikan kaunseling kepada anak-anak kita, murid-murid dan pelajar-pelajar yang merupakan mangsa dalam isu ini dan pihak KPM sentiasa bersedia untuk membantu anak-anak kita,” katanya kepada pemberita, pada Jumaat.

Iklan

Polis menahan seorang pemandu bas berusia 24 tahun yang memuat naik video dan menyiarkan gambar kanak-kanak dibawanya dalam bas di Simpang Renggam, Kluang, Johor pada jam 2.57 pagi dan merampas telefon bimbit dipercayai digunakannya untuk siasatan lanjut.

Kah Woh berkata, KPM juga menyerahkan kepada pihak polis berhubung siasatan kes itu.

Iklan

Dalam perkembangan lain, Kah Woh berkata, KPM mempunyai garis panduan yang perlu dipatuhi berkaitan jemputan orang kenamaan atau ahli politik, bagi menghadiri program di dalam sekolah.

Beliau berkata, pihaknya telah menjelaskan beberapa kali berhubung garis panduan itu, apabila ia dibangkitkan Ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat dan ia sepatutnya difahami semua pihak.

"Saya percaya bahawa peruntukan dan garis panduan yang ditetapkan itu amat jelas. Maka semua pihak perlu bertanggungjawab dan mematuhi garis panduan tersebut dan saya memohon supaya kerajaan negeri (Kedah) membaca dengan teliti garis panduan yang ada dan pihak KPM berpegang kepada garis panduan yang ada,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Kedah, Datuk Mohd Azam Abd Samat dalam kenyataan mendakwa, JPN Kedah memberi ‘arahan’ agar guru-guru yang terlibat dengan program kerajaan negeri supaya tidak hadir ke program tersebut.

Terdahulu, Kah Woh yang juga Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP merasmikan Konvensyen Biasa DAP Kedah 2024. - Bernama