90 pelajar selami keinginan untuk kerjaya masa depan

Iklan

Para pelajar perlu didedahkan mengenai bidang kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) demi masa depan kerjaya mereka.

Berbekalkan misi itu, seramai 90 orang pelajar Tingkatan Empat dari tiga buah sekolah sekitar Perak, dihimpunkan dalam program Pemantapan Sahsiah: Ekspresi Dirimu (Remaja & Hala Tuju selepas SPM) Kolej Komuniti Gerik (KKGP) pada Ahad lalu.

Iklan
Iklan

Kesemua peserta adalah pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Ahmad, SMK Tan Sri Abdul Aziz dan SMK Sultan Azlan Shah, Lenggong di Perak.

Pengisian program itu secara langsung mengenai kesedaran awal membentuk pemikiran dan tingkah laku positif serta pendedahan awal dalam bidang kemahiran yang mampu menarik minat mereka untuk belajar dan meneroka dunia TVET kelak.

Iklan

Program yang berlangsung selama dua hari yang disempurnakan oleh Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Perak, Datuk Salbiah Mohamed itu julung kali diadakan secara kolaboratif di antara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Hulu Perak, Pejabat Pendidikan (PPD) Daerah Hulu Perak dan KKGP.

Sementara itu, Salbiah berkata, gabungan tiga entiti ini sebagai penganjur bukan sahaja memperkasa kemampuan individu tetapi dapat memberikan satu input yang diperlukan bagi mencapai kesejahteraan sosial dan peluang pembelajaran dalam bidang TVET khususnya kepada anak-anak pelajar di Daerah Hulu Perak.

Iklan

"Melalui kerjasama ini, kita berhasrat meningkatkan aksesibiliti latihan kemahiran kepada kumpulan sasaran dan menyediakan mereka dengan peluang yang lebih baik untuk menyambung pengajian serta memperoleh pekerjaan yang lebih stabil serta berdaya saing.

"Ini adalah usaha kita untuk memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan dan semua individu berpeluang memperbaiki taraf hidup melalui pendidikan dan latihan yang berkualiti.

"Seiring dengan hasrat KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) dan kerajaan negeri Perak, diharapkan kerjasama antara JKM, PPD dan KKGP ini dapat menjadi model kejayaan dalam meningkatkan kualiti mutu pendidikan negara.

"Dengan menggabungkan sumber, kepakaran dan inisiatif daripada ketiga-tiga pihak, kita dapat memperluas peluang pembelajaran, menyediakan latihan kemahiran yang relevan, mengatasi jurang pendidikan di kawasan-kawasan yang memerlukan serta menangani isu-isu yang berkaitan kanak-kanak dan remaja," katanya.

Untuk rekod, selain menanam minat pelajar dalam TVET turut diadakan aktiviti berbentuk motivasi seperti ceramah daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Polis DiRaja Malaysia serta Pejabat Parol Daerah Hulu Perak.