Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi Program Tindak Susul Parlimen (TSP) di Sibu, Daro dan Mukah, Sarawak akan terus menangani isu akses pendidikan terutamanya melibatkan sekolah di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Program lawatan selama dua hari bermula 6 dan 7 September itu membuktikan KPM akan terus berusaha membantu pendidikan anak-anak di Sarawak.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, program turun padang itu bertujuan meninjau dan membuat penilaian secara langsung berhubung isu yang dihadapi sekolah selain mencadangkan penyelesaian kepada pihak berkaitan.
Menurut beliau, lawatan ke beberapa buah sekolah itu dilaksanakan untuk melihat akses pendidikan di pedalaman selain membincangkan pelbagai perkara termasuk perkongsian bersama pihak sekolah.
"Ada perkara dapat kita selesaikan dan ada juga memerlukan kerjasama agensi seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memastikan suasana kondusif untuk anak-anak kita belajar,” katanya kepada pemberita di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga, pada Sabtu.
Fadhlina dalam rangka lawatan sempena Program TSP di Sarawak turut mengunjungi SK Kg Kut, Daro dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Oya, Sibu yang disertai pengurusan tertinggi KPM dan Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi.
Mereka kemudian meneruskan lawatan ke Pusat Kegiatan Guru (PKG) Daro, SK Kg Pangtray, SMK Matu, SK Kg Pergau di Daro dan SK Kampong Tellian di Mukah.
Sementara itu, menurut Fadhlina, antara isu yang dibangkitkan sepanjang lawatan tersebut ialah berkaitan penyediaan infrastruktur dan masalah kekurangan guru.
Tambah beliau, walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, namun warga pendidik dan murid di Sarawak berjaya menunjukkan usaha serta kehadiran yang sangat baik.
Selain itu, isu pembinaan dan penyelenggaraan asrama turut dibangkitkan bagi memastikan murid berada dalam keadaan baik terutama mereka yang tinggal jauh dari kawasan sekolah.
"Di Sarawak antara perkara sering dibangkitkan adalah isu kekurangan guru, kemudahan serta pembangunan.
"Apabila kita datang ke sini (Sarawak) kita dapati secara amnya kehadiran anak-anak kita (murid) di sekolah yang kami lawati mencapai 97 hingga 98 peratus dan mereka hanya tidak hadir apabila tidak sihat sahaja,” katanya.