32,929 murid seluruh negara peroleh manfaat WAR SPRM

Iklan

Selepas 10 tahun Program Wira Anti Rasuah (WAR) diperkenalkan dan dilaksanakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di seluruh negara, seramai 32,929 murid pelbagai aliran di rendah dan menengah serta 4,434 orang guru daripada 181 buah sekolah dilibatkan dalam usaha meningkatkan kesedaran dan pemahaman tentang bahaya gejala rasuah.

Berucap merasmikan Program Perkasa Wira Anti Rasuah (WAR) di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Utama, Sungai Besar, Selangor baru-baru ini, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali berkata, SPRM sememangnya mendidik dan mendapatkan sokongan segenap lapisan masyarakat dalam membanteras rasuah menggunakan tiga strategi secara serentak iaitu siasatan, pencegahan serta pendidikan.

Iklan
Iklan

"Pendedahan dan pendidikan mengenai kesalahan dan bahana rasuah sering dilakukan oleh SPRM melalui mesej-mesej antirasuah serta program-program pendidikan yang dibuat dengan pelbagai pihak meliputi pegawai-pegawai badan awam, pihak swasta dan perniagaan, masyarakat umum, masyarakat antarabangsa, pihak keagamaan termasuk pelajar institusi pengajian tinggi, jurusan teknikal dan vokasional (TVET) serta murid sekolah menengah dan rendah," kata beliau.

Mengakui SPRM antara agensi paling aktif berinteraksi dengan pihak sekolah dalam aspek pendidikan antirasuah, Norazlan menegaskan bahawa kerjasama daripada semua agensi adalah penting dan sangat digalakkan dalam usaha melahirkan generasi pemimpin yang memiliki pencapaian akademik yang tinggi, serta menghayati nilai-nilai integriti secara menyeluruh.

Iklan

"Pendidikan di sekolah tidak hanya harus berkisar mengenai tidak melakukan rasuah sebaliknya memberi tumpuan kepada melahirkan generasi yang memiliki sahsiah tinggi yang menitikberatkan sifat jujur dan amanah dalam diri para pelajar,” ujarnya.

Sejajar dengan itu, SPRM katanya, bekerjasama erat dengan Kementerian Pendidikan Malaysia menyalurkan bahan pendidikan antirasuah dan elemen-elemen antirasuah serta integriti di dalam buku teks Bahasa Melayu Tahun 4 dan 5, Modul Exemplar Pendidikan Sivik serta Pendidikan Agama Islam dan Pendidikan Moral.

Iklan

Beliau turut optimis sekiranya nilai-nilai integriti dihayati dan dipraktiskan di kalangan para pelajar, mereka ini bukan sahaja tidak akan melakukan kesalahan rasuah malah tidak akan juga melakukan lain-lain kesalahan seperti menipu, pecah amanah, mencuri, menyeleweng harta dan sebagainya.

Terdahulu, seramai 486 murid Tahun 1 hingga 6 dan 46 guru dar SK Seri Utama telah dilibatkan dalam program antirasuah dikendalikan oleh pegawai-pegawai SPRM Selangor.

Hadir sama Pengarah, SPRM Negeri Selangor, Datuk Alias Salim; Pegawai Pendidikan Daerah Sabak Bernam, Zakaria Othman, Guru Besar SK Seri Utama, Saharudin Mohd Hassim dan Pengerusi PIBG SK Seri Utama, Ain Fatihah Toyibon.