UTM terima 97 pelajar perintis Fakulti Kecerdasan Buatan

Iklan

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerima seramai 97 pelajar yang mengikuti pengajian di Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) bagi pengajian Sarjana Muda Sepenuh Masa, sesi akademik 2024/2025.

Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata, pelajar ambilan pertama pusat pengajian kecerdasan buatan pertama negara dan di rantau Asia Tenggara itu akan mengikuti program Sarjana Muda Kecerdasan Buatan dengan Kepujian selama tiga tahun di kampus Kuala Lumpur.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kekuatan kurikulum yang berorientasikan manusiawi serta hubungan strategik UTM bersama pemain industri AI di dalam dan luar negara merupakan kunci kepada keunikan serta kualiti program yang ditawarkan itu.

"Program yang dibangunkan oleh UTM telah mendapat pelbagai input pakar dari dalam dan luar negara serta merentas bidang dan disiplin. Ia akan melibatkan pensyarah daripada pelbagai bidang akademik, termasuk asas dan penggunaan AI, Matematik, Sains Komputer serta Sains Sosial dalam membangunkan bakat AI sekali gus memperhebat bidang teknologi merentas disiplin ilmu ini.

Iklan

"Pelajar juga berpeluang mengikuti pengajian menerusi infra 'smart future ready classroom' dan juga makmal robotik yang terdapat di kampus kami," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Ahmad Fauzi berkata penyelidikan dalam bidang pengintegrasian AI juga giat dijalankan oleh penyelidik UTM dan dapatan daripada penyelidikan terbabit akan menjadi nilai tambah kepada pelajar bagi memastikan teknologi yang dipelajari sentiasa relevan.

Iklan

Beliau berkata, penubuhan FAI adalah seperti yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pengumuman Belanjawan 2024.

Pihak UTM, katanya telah berjaya menubuhkan FAI dalam tempoh empat bulan hasil kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi dan telah dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, 10 Mei lepas pada Majlis Malaysia Artificial Intelligence Nexus 2024 (MY AI Nexus). - Bernama