Belanjawan 2025: RM18 bilion khas buat KPT

Iklan

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) diperuntukan sehingga RM18 bilion berbanding RM16.3 bilion bagi tahun 2024.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu membentangkan Belanjawan 2025 berkata, selaras dengan peruntukan itu, falsafah pendidikan perlu terus diterapkan menerusi langkah awal yang gigih.

Iklan
Iklan

Menurutnya, di antara strategi lanjutan termasuklah peningkatan mutu bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, penguasaan bahasa-bahasa lain terutamanya Inggeris.

Universiti juga perlu pantas memperkenalkan disiplin baharu yang membuka ruang penerokaan pemikiran dan teknologi baharu.

Iklan

"Pimpinan universiti dan para ilmuan perlu diberi ruang dan wewenang untuk menggagaskan pembaharuan ke arah kemantapan dan peningkatan mutu," kata Anwar sewaktu pembentangan di Parlimen pada Jumaat.

Sementara itu, peruntukan sehingga RM18 bilion itu membabitkan misi utama untuk anak-anak melanjutkan pelajaran membabitkan peruntukan keseluruhan RM4 bilion dalam biasiswa, pinjaman dan elaun pendidikan.

Iklan

"GLIC (syarikat pelaburan berkaitan kerajaan) dan GLC (syarikat berkaitan kerajaan) turut komited memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus biasiswa dikhususkan untuk pelajar daripada keluarga pendapatan rendah dan menengah.

"Ke arah melahirkan graduan dengan kebolehpasaran tinggi, sesuai dengan tuntutan industri, PTPTN menyediakan dana pembiayaan pendidikan berjumlah RM500 juta khusus untuk memberi keutamaan kepada pelajar yang mengikuti pengajian dalam bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) di IPTA (Institusi Pendidikan Tinggi Awam)," kata Anwar.

Tabungan pendidikan tinggi

Anwar memaklumkan, bagi menggalakkan tabungan pendidikan para pelajar, kerajaan Madani bercadang supaya pelepasan cukai individu ke atas simpanan bersih dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dilanjutkan untuk tempoh tiga tahun lagi.

Sementara di bawah Ikhtiar Geran Padanan Ihsan (GAPAI), kerajaan juga katanya, bersetuju meluaskan kriteria pemberian geran padanan sehingga RM5,000 ke atas simpanan dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) pelajar yang melanjutkan pengajian di IPT kepada keluarga berpendapatan sehingga RM6,000 berbanding RM4,000, bagi tempoh dua tahun.

Permodalan Nasional Berhad juga akan melaksanakan Program Celik Madani iaitu pembukaan akaun ASB bernilai RM50 secara percuma kepada 100,000 pelajar baharu yang melanjutkan pengajian peringkat tinggi.

Anwar juga memaklumkan bahawa Belanjawan Madani Ketiga kekal dengan komitmen meningkatkan mutu institusi pendidikan tinggi.

"Secara keseluruhan, sejumlah RM635 juta disediakan untuk menambah baik prasarana, mengganti peralatan usang dan meluas capaian Internet di semua universiti awam," kata Perdana Menteri lagi.

Beliau menambah, Universiti Teknologi Mara (UiTM) turut disediakan peruntukan tambahan sehingga RM20 juta bagi melahirkan lebih ramai jurutera industri elektrik dan elektronik (E&E).

"Ia mengambil kira pentingnya memastikan penyertaan Bumiputera dalam bidang semikonduktor sebagai sektor berpertumbuhan tinggi negara," kata beliau.