Jurusan Kejuruteraan Penyenggaraan Pesawat semakin mendapat tempat di hati para pelajar untuk menyambung pengajian lebih-lebih lagi apabila industri penerbangan berkembang maju selepas negara mengalami pandemik Covid-19.
Bukan sahaja menawarkan pekerjaan dengan gaji lumayan, ia juga membuka peluang pelajar menceburi pelbagai bidang melibatkan penyenggaraan pesawat.
Mari kita ikuti perkongsian empat pelajar Diploma Kejuruteraan Penyenggaraan Pesawat dari Politeknik Banting Selangor (PBS).
Cerita 1
Walaupun peringkat awal mengikuti jurusan penyenggaraan pesawat kerana menunaikan permintaan Allahyarham ayah, namun siapa sangka anak kelahiran Ampang, Selangor ini membuktikan kebolehannya apatah lagi mampu mengekalkan prestasi 4 rata setiap semester.
Pelajar semester lima, Nor Muhammad Muzhaffar Shah, 24, berkata, minatnya lebih cenderung dalam bidang undang-undang dan sudah pun menerima tawaran kemasukan jurusan itu, namun meneruskan permintaan permintaan Allahyarham.
Kongsi anak muda ini, awal pembelajaran agak mencabar bagi dirinya, namun lama-kelamaan semakin beradaptasi dan mula jelas dengan misi menetapkan kerjaya masa depan.
"Apabila sudah mendalami jurusan penyenggaraan pesawat ini, ia tidaklah sukar seperti yang disangka.
"Alhamdulillah saya dapat mengekalkan prestasi saya dari semester satu hingga lima dengan meraih 4 rata dan sekarang, Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) saya adalah 3.98,” katanya.
Tidak hanya cemerlang dalam pembelajaran, Muzhaffar juga aktif dalam persatuan pelajar.
Dia kini memegang jawatan sebagai Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar selain ahli debat PBS.
Dia juga pernah memenangi pingat emas dan perak dalam pertandingan inovasi, selain aktif menyertai program kolaborasi bersama Indonesia, baru-baru ini.
"Kehidupan sebagai seorang pelajar memang akan sibuk tetapi seronok jika pandai membahagikan masa,” ujarnya.
Cerita 2
Oleh kerana sejak kecil sudah melihat kapal terbang yang ada di Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM), ia sekaligus menyuntik minat Edwin Ng Ser Yee memilih pengajian dalam penyenggaraan pesawat.
Edwin, 20, berkata, keputusan itu mendapat sokongan ibu bapa apatah lagi keluarganya mempunyai latar belakang dalam pekerjaan mekanik menjadikan dia lebih gemar pembelajaran secara praktikal.
"Pembelajaran secara teori membantu kita faham serba sedikit tentang sesuatu ilmu tetapi praktikal membuatkan pelajar lebih mudah faham dan senang untuk ingat.
"Di PBS, bukan sahaja teori diterapkan tetapi praktikal juga menjadi salah satu kaedah pembelajaran yang membantu saya dan rakan-rakan lebih mudah mendalami kursus ini,” katanya.
Edwin yang kini berada di semester lima berkata, perancangannya untuk mengambil lesen Aircraft Maintenance Engineer (CAT B) selepas tamat diploma kelak.
Anak muda itu turut mengingatkan untuk mempunyai minat sebelum menyambung sesuatu bidang pengajian agar proses pembelajarannya dapat dinikmati.
Cerita 3
Sudah mempunyai serba sedikit pengetahuan dalam bidang penyenggaraan pesawat, menjadikan Thanus Mogan memilih mengikuti Diploma Kejuruteraan Penyenggaraan Pesawat.
Anak kelahiran Pulau Pinang itu memberitahu, mendapat sokongan keluarga yang mana salah seorang daripadanya terlibat dalam pekerjaan bidang tersebut.
"Bagi mendalami ilmu penyenggaraan pesawat ini, benar sekali ada bahagian sukar dan mencabar untuk difahami tetapi saya menikmati proses berkenaan.
"Sekiranya sukar, saya akan buat kajian melalui pembacaan buku dan sebelum memasuki kursus ini, saya sudah mengkaji sedikit sebanyak tentang penyenggaraan pesawat.
"Boleh dikatakan, pengetahun am saya tentang penyengggaraan pesawat semakin bagus apabila mengikuti kursus di PBS,” ujarnya.
Thanush, 20, juga aktif dengan aktiviti dan persatuan kampus menjadikan dia perlu bijak dalam membahagikan masa antara kedua-duanya.
Dia turut mengingatkan agar meraih sekurang-kurangnya kredit subjek Matematik dan Fizik jika pelajar lepasan SPM berminat dengan jurusan penyenggaraan pesawat.
Cerita 4
Wanita juga mampu menceburi bidang yang dahulunya dimonopoli oleh golongan lelaki menjadikan Cinta Zainuri memilih menyambung jurusan penyenggaraan pesawat.
Biarpun berperwatakan lembut dan ayu, namun siapa sangka Cinta, 20, mampu berdiri sama tinggi dengan golongan lelaki meski pun perlu berdepan pelbagai cabaran.
Kata pelajar semester lima itu, cabaran utama yang perlu ditempuh adalah tugasan secara praktikal.
"Perempuan selalu dilihat feminin tetapi semuanya perlu diketepikan kerana bidang ini tiada perbezaan antara jantina. Semuanya perlu laksanakan tugasan yang sama.
"Cuma mungkin ada sesetengah tugasan yang tidak mampu dilakukan oleh wanita tetapi jangan risau, di sini akan ada konsep saling bantu-membantu antara semua pelajar dan pensyarah,” katanya.
Anak kelahiran Klang, Selangor ini turut aktif dalam aktiviti kampus dan merupakan atlet petanque bagi Kejohanan Sukan Selangor.
"Sebagai ahli MPP dan atlet petanque, waktu petang akan dihabiskan dengan sesi latihan.
"Waktu malam adalah masa untuk saya mengulang kaji atau menyiapkan tugasan. Ia tidak menganggu proses pembelajaran jika kita tahu membahagi masa,” ujarnya.
Buat mereka yang berminat menyambung jurusan ini, Cinta meminta agar bersedia mental dan fizikal, selain meraih keputusan cemerlang dalam subjek Fizik serta Matematik.