IPT disaran tawar pendidikan fleksibel menerusi APEL, micro-credentials - MQA

Iklan
M Iqbal (duduk, dua dari kanan) dan pengurusan MQA merakam kenangan bersama-sama peserta Sesi Jelajah MQA Bersama IPT Zon Timur di UMT.

Institut pendidikan tinggi (IPT) tempatan perlu memainkan peranan bagi meningkatkan minat masyarakat di negara ini untuk menyambung pengajian ke peringkat tinggi.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti), Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Profesor Ts Dr M Iqbal Saripan berkata, selain penawaran program akademik secara konvensional, IPT perlu rebut peluang untuk menawarkan pendidikan fleksibel bagi mempromosikan inisiatif Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH).

Iklan
Iklan

Menurutnya, IPT perlu kreatif dalam penawaran program terutama membabitkan laluan Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) yang terdiri daripada APEL A (akses), APEL C (pindah kredit) dan APEL Q (penganugerahan) serta kursus pendek bersifat micro-credentials.

"Sejak beberapa tahun lalu, lepasan sekolah dilihat kurang berminat untuk menyambung pengajian ke IPT kerana lebih cenderung untuk terus ke alam pekerjaan, menjalankan perniagaan, menyertai ekonomi gig, malah ada yang mencuba nasib menjadi pempengaruh di media sosial. Justeru di sinilah peranan IPT penting bagi menarik minat golongan ini untuk menyambung pengajian mereka.

Iklan

"Selain lepasan sekolah, kita juga mahu golongan pekerja untuk meneruskan pengajian melalui pendidikan fleksibel ini supaya masyarakat di negara ini mempunyai kelayakan lebih baik sekali gus meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja mahir,” katanya pada Sesi Jelajah MQA Bersama IPT Zon Timur di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT, Profesor ChM Dr Marinah Mohd Ariffin; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Profesor Dr Mohd Izani Mohd Zain; Pengarah Kanan Pembangunan Dasar dan Kepakaran MQA, Mohamad Dzafir Mustafa serta Pengarah Kanan (Akreditasi) MQA, Mohd Khairul Nizam Ibrahim.

Iklan

Pada sesi jelajah berfokus itu, MQA berkongsi dasar, pengumumuman terkini, perancangan strategik serta bertukar pandangan secara terus dengan IPT dalam konteks jaminan kualiti pengajian tinggi serta mempromosi inisiatif pendidikan fleksibel termasuk menggalakkan lebih banyak IPT menjadi Pusat Penilaian APEL kepada 250 peserta yang mewakili lebih 90 wakil IPT dari Terengganu, Kelantan dan Pahang.

Mengulas lanjut, M Iqbal berkata, sesi jelajah itu juga menjadi platform untuk MQA berkongsi mengenai Malaysian Qualifications Framework 2.0 (MQF), Advisory Note dan Surat Makluman MQA 2024, inisiatif pemerkasaan TVET dan pengenalan Electronic MQA Accreditation System (e-MAS).

Beliau berkata, sesi seumpama itu penting untuk berkongsi berkaitan dasar terbaru yang akan memberi impak kepada pengurusan dan jaminan kualiti dalam pendidikan tinggi.

Katanya, selaku agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi, MQA sentiasa bersedia untuk bekerjasama dan memberi sokongan dalam usaha memastikan kualiti pendidikan tinggi kita sentiasa berada pada tahap yang tertinggi, setanding dengan piawaian antarabangsa.

"Cabaran yang dihadapi oleh IPT semakin kompleks, daripada kemajuan teknologi kepada permintaan tenaga kerja yang semakin dinamik, justeru MQA komited dalam memastikan bahawa setiap program yang mendapat akreditasi memenuhi kriteria ditetapkan dan kekal relevan kepada keperluan industri dan masyarakat.

"Sinergi dan kolaborasi erat antara MQA dan IPT adalah kunci untuk kita terus memajukan pendidikan tinggi negara," katanya.