Isu kehamilan remaja: KPM guna modul PEERS dalam kurikulum persekolahan 2027

Iklan
Fadhlina ketika melawat pameran pada Majlis Penutup Universiti Sains Malaysia (USM) STEM Week di USM, Pulau Pinang pada Ahad.

Kementerian Pendidikan (KPM) akan menggunakan modul Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) dalam Kurikulum Persekolahan 2027 bagi menangani isu kehamilan melibatkan remaja yang semakin meningkat di negara ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, perkara itu telah mendapat persetujuan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan pihaknya sentiasa mengalu-alukan kerjasama rentas kementerian bagi menangani isu berkenaan.

Iklan
Iklan

"Keprihatinan kita (KPM) sama dengan KPWKM apabila kita bercakap tentang soal kehamilan di luar nikah, kita memberikan tumpuan penuh kepada agenda-agenda pendidikan khususnya yang terkait rapat dengan kesihatan reproduktif.

"Begitu juga dari semasa ke semasa, kita jalankan program berkaitan advokasi yang terkait rapat dengan isu-isu kesihatan reproduktif termasuk program bersama-sama KPWKM bagi menangani isu gangguan seksual, isu kesihatan gadis, sentuhan selamat dan tidak selamat yang masih lagi kita laksanakan di peringkat KPM," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Program Universiti Sains Malaysia (USM) Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Week 2024 di USM, Pulau Pinang pada Ahad.

Iklan

Fadhlina berkata, KPM akan memberikan tumpuan khususnya berkaitan dengan modul PEERS supaya guru dan murid diperkasakan dari segi maklumat serta advokasi berkaitan isu berkenaan.

PEERS diajar melalui kurikulum Pendidikan Kesihatan bermula peringkat prasekolah hingga sekolah menengah dan murid dilengkapi dengan maklumat serta kemahiran khususnya kecekapan psikososial untuk membuat informed decisions dalam kehidupan harian.

Iklan

Terdahulu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri menyuarakan kebimbangan mengenai isu kehamilan remaja, perkahwinan bawah umur, pembuangan bayi dan pengguguran tidak selamat di negara ini.

Nancy berkata, berdasarkan data Kementerian Kesihatan 44,263 kes kehamilan remaja telah direkodkan sejak lima tahun lepas, dan daripada jumlah itu 17,646 melibatkan remaja yang belum berkahwin.

Dalam perkembangan lain, Fadhlina meminta guru kaunseling untuk memainkan peranan penting dalam menasihati pelajar dan memberikan maklumat kepada mereka dalam memilih aliran STEM sebagai pilihan utama.

KPM juga katanya telah melaksanakan beberapa sesi intervensi antara guru kaunseling serta pemain industri STEM agar mereka mempunyai maklumat terkini dalam bidang berkenaan sebelum menyalurkan informasi berkenaan kepada pelajar sekolah.

Program USM STEM Week 2024 melibatkan penyertaan daripada 15 Pusat Pengajian Sains, Teknologi dan Kejuruteraan yang terdiri daripada tiga kampus iaitu kampus induk, kampus kejuruteraan dan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) serta enam rakan kolaborasi.

Program itu juga mencatatkan penglibatan 350 pensyarah, pelajar siswazah dan pascasiswazah yang menjalankan pelbagai aktiviti interaktif bertemakan STEM selain 600 pelajar melibatkan lebih 30 sekolah di Pulau Pinang. - Bernama